Malaysia Dateline

‘Jatuhkan kerajaan mereka sendiri, mahu kuasa sempurna tanpa bergantung pada PN’

Tidak mahu berkongsi kuasa. Itu yang membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menempelak kenyataan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mengaitkan kestabilan jika parti itu menang pilihan raya.

“Apa yang kita lihat sejak Langkah Sheraton lagi, merekalah (Umno-BN) punca ketidakstabilan politik.

“Mereka tidak boleh terima pilihan dan mandat rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berpendapat BN punca kepada segala ketidakstabilan politik termasuk terlibat dalam percaturan jawatan Perdana Menteri selain adanya pemimpin yang mengkhianati PH.

“Mereka telah merangka strategi menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Mahiaddin memujuk Azmin untuk keluar mengkhianati PH dan bersama dengan Pas.

“Mereka telah membentuk kerajaan di bawah Mahiaddin dan sekarang mereka sendiri pula menimbulkan masalah dengan Mahiaddin menjatuhkan kerajaan Mahiaddin, naikkan Ismail Sabri,” ujarnya.

Untuk rekod, PN yang terdiri daripada gabungan dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas

Penganalisis politik berpendapat BN sebagai penyandang tidak mungkin membuat pengisytiharan pembubaran DUN tanpa keyakinan mampu mendapat majoriti.

Mengulas lanjut, Khalid menegaskan sikap Umno-BN yang berseteru dengan PN terbukti menyebabkan ketidakstabilan politik terus berlaku.

“Dalam keadaan tiada mana-mana pihak menganggu, mereka inginkan kuasa yang sempurna tanpa bergantung pada PN.

“Mereka jatuhkan kerajaan mereka sendiri untuk diadakan PRN Johor. Umno-BN punca ketidakstabilan politik mereka. Tolak mereka dalam PRN Johor,” tegas Khalid lagi.