Malaysia Dateline

Jatuhkan kerajaan Pas tak syarie: Husam cabar adakan forum

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Datuk Husam Musa menyangkal dakwaan yang menganggap usaha menukar kerajaan Pas di Kelantan bertentangan dengan hukum Islam.

“Ada yang kata jatuhkan kerajaan Pas tak syarie, saya cabar adakan forum,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran bilik operasi pilihan raya (BOP) PH Dun Pengkalan Pasir malam tadi.

BOP PH itu dirasmikan presiden AMANAH Mohamad Sabu. Turut hadir pengerusi AMANAH Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan para pemimpin PKR dan PPBM negeri.

Menurutnya, menjadi kewajipan umat Islam untuk menentukan kerajaan yang mengendalikan urusan mereka tidak melakukan penyelewang dan penyalahgunaan kuasa.

“Islam tidak membenarkan rakyat membiarkan sebuah kerajaan yang rasuah dan meminta ‘nafkah politik’ terus berkuasa.

“Istilah ini bukan saya reka tetapi digunakan oleh pemimpin yang sedang memerintah sekarang,” katanya.

Beliau terus menyenaraikan kes-kes yang melibatkan projek lebuh raya rakyat dan skandal kewangan agensi kerajaan lain.

“Dalam kes lebuhraya (rakyat) saya telah mendedahkan bagaimana Baldah Toyyibah telah terpaksa membayar ganti rugi ratusan ribu akibat penyelewangan.

“Jambatan kedua Sdn. Bhd (JKSB) pula telah dipaksa membuat bayaran luar kontrak kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

“Bila saya buat pendedahan dengan dokumen, apa yang dilakukan pihak Exco adalah memanggil kakitangan untuk siasat siapa yang bocorkan (maklumat),” kesal beliau.

Tambah Husam, situasi ini menunjukkan salah laku itu memang berlaku.

“Kalau tak ada apa-apa tak kan nak cari siapa yang bocorkan. Tentu ada kesalahan bila takut bocor,” katanya.

Beliau turut mengulas kenyataan exco kerajaan negeri Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi yang berkata pembangkang di negeri itu tidak diberi peruntukan kerana dianggap ‘cuba menjatuhkan kerajaan Islam’.

“Ini jawapan untuk menutup malu mereka kerana menuntut peruntukan di Selangor walaupun mereka kini jadi lawan kerajaan di sana.

“Pas sekarang kalau pasal duit bila memihak mereka semua betul,” katanya.

Menurut beeliau, kerajaan yang mengaku ‘membangun bersama Islam’ tetapi dipenuhi penyelewengan dan salah laku perlu dijatuhkan.

“Tiada apa salahnya menjatuhkan kerajaan dipenuhi rasuah untuk digantikan dengan yang lebih baik,” katanya.