Malaysia Dateline

Jatuhkan kerajaan yang tidak hiraukan suara rakyat, kata Anis Afida

Kerajaan Negeri Johor dilihat tidak menghiraukan suara penduduk kampung di kawasan Bukit Payong, Parit Sulong, apabila melalui menterinya Datuk Halimah Sadique mengumumkan akan memulakan projek Pusat Pelupusan Sampah pada tahun 2020 di kawasan berkenaan.

Menurut Ketua Wanita Muda Amanah (Warda) Negeri Johor, Anis Afida Mohd Azli, tindakan Halimah Sadique itu adalah cerminan sebuah kerajaan yang tidak langsung mahu mengambil tahu suara rakyat bawahan.

Anis berkata, pelbagai aktiviti serta tindakan menghalang telah diambil oleh pihak penduduk kampung serta taman di sekitar kawasan berdekatan projek pelupusan sampah tersebut, namun pihak kerajaan tetap bertegas untuk mendirikan projek tersebut.

Anis Afida (tudung jingga) bersama dengan wakil penduduk kampung menyiapkan memorandum bantahan.

“Kami tidak membantah sebarang pembangunan ataupun penambahbaikkan infrastruktur di negeri ini, tetapi kami kecewa dengan projek yang akan dibangunkan ini yang mana ia terlalu hampir dengan kediaman penduduk kampung.

“Selain itu terdapat permasalahan seperti faktor alam sekitar dan sebagainya yang akan berlaku terhadap penduduk kampung di Bukit Payong ini.

“Pihak kami selama ini berharap projek ini tidak berjalan terlebih dahulu dan kerajaan sepatutnya mendengar keluhan penduduk di kampung ini bukan dengan mengambil tindakan seolah-olah suara penduduk kampung tidak didengari.

“Melalui maklumat yang kami perolehi, sewaktu menjelang PRU13 yang lalu, pihak Umno-BN telah menabur janji menyatakan projek ini akan ditangguhkan sekiranya Umno-BN memerintah lagi.

“Namun perkara itu dilihat sebagai suatu mainan kata-kata dan ia tidak dilaksanakan.

“Cara terbaik bagi menyelesaikan permasalahan ini adalah dengan menukar kerajaan dan saya yakin untuk membawa isu ini ke peringkat seterusnya bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku terhadap penduduk kampung.

Ini sahaja cara yang terbaik untuk menyelamatkan kampung serta taman di Bukit Payong ini,” tegas Anis Afida Mohd Azli.

Selain itu, menurut Exco Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor yang juga merupakan aktivis alam sekitar, Abrary Ramly, Halimah Sadique sepatutnya lebih menumpukan kepada kawasannya sendiri daripada menguruskan soal kawasan lain.

“Di Tenggara (Parlimen Halimah Sadique) terdapat kawasan-kawasan pelupusan sampah haram yang banyak serta tidak terurus khususnya di sepanjang jalan utama Sungai Redan.

“Apakah Halimah Sadique tidak tahu akan perkara tersebut sedangkan beliau adalah ahli parlimen kawasan itu?

“Sepatutnya Halimah Sadique selesaikan permasalahan di kawasannya terlebih dahulu sebelum nak menguruskan kawasan orang lain. Memang selama ini Halimah bukanlah seorang yang mahu mendengar keluhan atau suara rakyat bawahan,” katanya.

*Gambar 1 – Anis Afida (kiri) sedang berbincang dengan penduduk kampung yang terjejas.

*Gambar 2 – Anis Afida (tudung jingga) bersama dengan wakil penduduk kampung menyiapkan memorandum bantahan