Malaysia Dateline

Jatuhnya kerajaan PH bukan kerana Tun dan Anwar, tegas Khalid

Kejatuhan Pakatan Harapan (PH) digantikan Perikatan Nasional (PN) bukan berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, tumbangnya PH ekoran Langkah Sheraton adalah disebabkan pengkhianatan dilakukan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Sehubungan itu, Khalid menasihatkan usah saling menuding jari dengan pergolakan politik yang berlaku pada masa ini.

Beliau mengingatkan semua pihak terutama penyokong PH agar bertindak secara berhemah dan bijaksana mengikut lunas undang-undang.

“Walaupun kita marah tetapi biar tindakan kita terkawal penuh berhemah bijaksana ikut lunas undang-undang.

“Jangan sama-sama kita menuding jari. Ada yang salahkan Tun (Mahathir), salahkan Anwar. Ini semua mainan mereka.

“Yang bantai Tun, Anwar sudah tegur berkali-kali jangan serang Tun. Tidak semestinya yang menyerang Tun itu penyokong Anwar. Di pihak Anwar pun begitu juga. Ada batu api,” tegasnya dalam majlis temu rapat aktivis PH Shah Alam di Dewan Meranti Seksyen 19, 6 Mac lalu.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan apa yang paling penting Tun Mahathir bersama PH berserta enam Ahli Parlimen Bersatu.

“Orang yang menuduh Tun main wayang dan berdrama, mengapa (Tun) mahu berdiri bersama kita, kalau (tuduhan) itu benar?

“Semua sudah setuju. Tiba-tiba hari Ahad (pertemuan ‘Langkah Sheraton’ pada 23 Februari) timbul masalah. Lalu tidak perlu kita nak salahkan Tun dan Anwar.

“Jatuhnya kerajaan (PH) bukan kerana Tun dan Anwar tetapi kerana pengkhianat (iaitu) Muhyiddin dan Azmin bersatu dengan penyamun membentuk kerajaan.

“Kalau nak marah, marah mereka (Muhyiddin dan Azmin Ali). Ini penting kerana kita ingin dapatkan semula kerajaan kita,” tegas Khalid.

Sayang PPBM

Mengimbas tentang kewujudan Bersatu atau singkatan lainnya PPBM menjelang PRU14 lalu, Khalid menyatakan rasa sayang kepada parti berlambangkan bunga kebangsaan itu.

“Saya sayang pada parti PPBM. Saya bersama dalam pembentukan dan penubuhannya. Tapi sekarang parti itu namanya telah tercemar hasil daripada tindakan Presidennya sendiri yang dulu cukup setia dengan Tun dan setuju semua syarat.

“Tiada satu kerusi mereka menang (pada PRU14) tanpa sokongan daripada jentera Pakatan Harapan,” tegas bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Sehubungan itu, beliau tegas menyifatkan kerajaan sedia ada sekarang sebenarnya adalah ‘kerajaan pengkhianat dan penyamun bersatu Malaysia’.

“Kerajaan yang ada sekarang ini malangnya, minta maaf ya, kerajaan pengkhianat dan penyamun bersatu Malaysia. Minta maaflah.

“Pandai-pandai (bertindak) atas sebab mahu jadi Perdana Menteri. Khianat,” tegas Khalid lagi.