Malaysia Dateline

Jauh ketinggalan, Johor perlu segera dapatkan vaksin tambahan

Kerajaan Johor digesa untuk mendapatkan segera vaksin tambahan dari kerajaan pusat bagi memenuhi permintaan sebanyak 2.9 juta pemohon dalam negeri ini.

Gesaan itu disuarakan oleh Ketua Pembangkang DUN Johor, Aminolhuda Hassan yang berkata, langkah diambil oleh kerajaan Sarawak dan Selangor dengan membeli vaksin secara peruntukan sendiri adalah usaha yang baik untuk diikuti oleh negeri Johor.

Katanya, kerajaan Johor melalui Menteri Besar (MB) Dato Hasni Mohamad boleh mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat bagi mendapatkan vaksin tersebut untuk rakyat di negeri ini.

“Sekiranya lambat untuk menunggu vaksin dari kerajaan pusat, kerajaan negeri boleh mengambil inisiatif dengan membuat pembelian sendiri vaksin berkenaan.

“Johor sebelum ini hanya bergantung kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dalam isu penerimaan vaksin ini yang mana pada fasa pertama ia hanya mencapai sebanyak 70,200 penerima dan fasa kedua hanya mencapai sebanyak 600,000 penerima.

“Perkara ini akan jadi lambat sekiranya Johor ingin menyasarkan kepada 2.9 juta penerima vaksin. Ini penting kerana Johor adalah pintu sempadan antara Singapura dan Malaysia. Kita jauh lebih ketinggalan dengan negeri Sarawak,” katanya kepada media.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan MB Johor ketika ini dilihat seperti sepi dalam membicarakan soal pemberian vaksin dan dilihat seolah-olah tidak ada usaha bersungguh dalam memberikannya kepada rakyat.

Tambahnya, Singapura akan membuka sempadan bergantung kepada kes harian di negeri ini dan nampaknya tiada keprihatinan kerajaan negeri terhadap isu ini.

“Sepatutnya Johor merasa malu dengan kerajaan negeri Sarawak yang terlebih ke depan dalam isu mendapatkan vaksin ini.

“Seharusnya juga, kerajaan Johor harus lebih prihatin dalam membeli vaksin ini kepada kerajaan pusat kerana ia bagi membolehkan sempadan negara antara Malaysia Singapura ini dapat dibuka kembali.

“Ternyata apa yang berlaku hari ini, kerajaan Johor hanya sepi dalam membicarakan soal vaksin ini dan ia tidak sepatutnya membiarkan rakyat terus terbeban dengan keadaan ini,” katanya lagi.

Selain vaksin beliau turut mencadangkan supaya kerajaan bersedia memberikan perkhidmatan percuma ujian Covid-19 melalui kaedah RTK khasnya kepada penduduk di kawasan bandar dan pinggir bandar kerana kumpulan ini yang sering terdedah kepada pertemuan ditempat-tempat awam selain di tempat kerja.