Jawab dulu soalan sebelum debat, kata Mukhriz pada Haris

Jawab dulu soalan sebelum debat, kata Mukhriz pada Haris

Haris Che Mat digesa menjawab dulu beberapa soalan yang pernah ditanya Datuk Seri Mukhriz Mahathir antaranya berkenaan harta kekayaan anak tiri kepada perdana menteri, Riza Aziz dan sumbangan RM500 juta untuk Pokok Sena sebelum debat diadakan.

Datuk Seri Mukhriz MahathirHaris Che Mat digesa menjawab beberapa soalan yang ditanya Datuk Seri Mukhriz Mahathir antaranya berkenaan harta kekayaan anak tiri kepada perdana menteri, Riza Aziz dan sumbangan RM500 juta untuk Pokok Sena sebelum debat diadakan.

Walaupun pada Selasa bekas pegawai khasnya itu telah memohon permit dari Ibupejabat Polis Kubang Pasu  untuk mengadakan debat pada 8 atau 15 April depan.

Namun ada beberapa perkara yang telah beliau lontarkan kepada Haris sebelum ini yang menjadi dasar dan asas kepada persetujuaan mengadakan debat itu yang masih belum dijawab oleh Haris.

“Soalan-soalan yang perlu Haris jawab bagi tujuan debat itu terlebih dahulu, adakah benar hanya Haris sahaja yang akan memilih moderator walhal sepatutnya moderator debat mestilah dari pihak yang berkecuali?

“Adakah benar bahawa soalan hanya akan ditujukan kepada saya sahaja, dan saya pula tidak dibenarkan bertanya soalan terhadapnya?

“Sedangkan saya telahpun maklumkan dengan jelas sebelum ini bahawa saya hendak Haris jawab berkaitan kekayaan Riza Aziz, anak tiri Najib Razak, yang membolehkannya biayai pembikinan filem lucah Hollywood dan berjudi di Las Vegas.

“Adakah benar tajuk debat ialah mengenai kekayaan saya yang dituduhnya berjumlah berbilion ringgit? Bagaimana pula dengan tajuk debat untuk merangkumi persoalan tentang kekayaan Riza Aziz pula?

“Adakah Haris menerima cabaran saya bahawa jika dia berjaya membuktikan bahawa saya mempunyai kekayaan berbilion ringgit itu, maka saya akan menyumbang RM500 juta untuk pembangunan sekitar Jerlun, dan RM500 juta lagi untuk Pokok Sena? Dan sebaliknya, jika Haris gagal membuktikannya, Haris pula yang perlu menyumbang jumlah yang sama kepada pembangunan di Jerlun dan Pokok Sena,” ujarnya dalam kenyataannya.

Justeru kata Mukhriz beliau menanti jawaban segera daripada Haris mengenai semua persoalan yang dikemukakannya itu.

Mukhriz menetapkan debat itu diadakan sama ada pada 27 April atau 5 Mei depan untuk memberi ruang kepada Haris menjawab soalan dikemukakannya.

“Sehingga Haris menjawab dengan lengkap segala persoalan ini, sebaiknya Haris menetapkan debat itu pada tarikh bersesuaian untuk kehadiran saya, iaitu sama ada 27 April atau 5 Mei ini,” ujarnya.

Haris Che MatJika persoalan itu masih tidak dijawab, Adun Ayer Itam ini berkata, sebenarnya, Haris tidak memahami etika debat.

“Kalau hanya dia sahaja yang tanya soalan, dan hanya saya seorang sahaja yang kena jawab, itu ‘temuramah’ namanya, bukan debat.

“Saya tidak berhasrat menghadiri ‘temuramah’ dengan Haris. Saya cuma berhasrat menghadiri debat dengan Haris di atas dasar dan asas yang telah saya nyatakan sebelum ini, dan ditegaskan di sini sekali lagi, supaya Haris tidak berdolak dalih lagi berkenaan perkara ini.

“Insya Allah saya akan menjawab segala tohmahan yang dilontar terhadap saya mengenai wang berbilion ringgit yang Haris tuduh kononnya milik saya. Berani kerana benar!

“Tapi kalau mahu berdebat secara jantan, Haris juga perlu menjelaskan hanya satu perkara sahaja. Iaitu dari manakah Riza Aziz, anak tiri Najib Razak dan anak kandung Rosmah Mansor mendapat kekayaannya untuk membikin filem lucah Wolf of Wall Street yang memakan belanja AS$100 juta dan membayar hutang judi AS$13 juta di pusat perjudian Las Vegas?

“Kalau saya juga boleh mengacu soalan ini dalam debat yang ingin Haris anjurkan itu, barulah adil namanya,” ujarnya.

Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu turut bercadang mengambil tindakan undang-undang jika tindakan Haris untuk berdebat ini hanya fitnah semata-mata.

“Jika Haris enggan bersetuju untuk berdebat dengan saya atas apa alasan sekalipun, maka biarlah dia tahu bahawa segala tohmahan dan fitnah yang Haris telah secara terus-menerus lontarkan terhadap saya selama ini, terutamanya melalui konspirasi TV3 mahupun mana-mana pihak lain, akan saya heret kesemuanya ke Mahkamah kelak, yakni Haris, TV3 dan sesiapa lain yang terlibat.

“Oleh itu saya ingin sekali lagi syorkan supaya Haris teruskan debat ini atas apa yang telah dipersetujui sebelum ini, untuk Haris berpeluang buktikan tohmahan dan fitnahnya sendiri.

“Ada baiknya juga Haris usahakan agar debat itu disiarkan secara langsung melalui TV3, memandangkan TV3 yang menjadi penyiar utama tohmahan dan fitnah Haris itu selama ini,” dakwanya.

Mukhriz mendakwa lagi, Haris dalam keadaan terdesaak menggunakan nama beliau untuk menghidupkan peluangnya dinamakan sebagai calon Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

Malah Mukhriz juga mendakwa mendapat maklumat terdapat dua individu terbabit di sebalik tindakan Haris mencabarnya untuk berdebat.

“Yang pertama ialah Penasihat Media kepada Najib Razak  iaitu Habibul Rahman Kadir Shah, dan yang kedua ialah Setiausaha Politik MB Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin.

“Kedua-duanya menerima arahan daripada majikan masing-masing, ataupun hanya memandai-mandai buat percaturan politik yang tidak matang ini,” ujarnya.

TAGS