Jawab Mat Sabu perihal politik wang dalam PKR, rombakan kabinet

Jawab Mat Sabu perihal politik wang dalam PKR, rombakan kabinet

Presiden AMANAH Mohamad Sabu mengambil jalan tengah berkaitan isu membabitkan dakwaan pemilihan PKR dicemari politik wang dan kemungkinan akan berlaku rombakan kabinet dalam kepimpinan Pakatan Harapan.

Beliau berkata, apa yang sedang melanda PKR dalam pemilihan parti yang dilaksanakan itu hanya sebagai khabar angin dan satu tuduhan yang belum lagi dapat dibuktikan.

“Itu tuduhan. Jika ada, pihak SPRM akan menyiasat.

“Tuduhan memang ada dalam mana-mana pemilihan tetapi ia belum ada dibuktikan,”ujarnya ketika ditemui media diluar dewan persidangan selepas menghadiri perasmian Kongres Nasional Keadilan kali ke-3 di IDCC Shah Alam hari ini.

Ditanya sama ada dakwaan berlaku politik wang dalam pemilihan PKR  akan menjejaskan imej parti dalam gabungan Pakatan Harapan?

Mohamad  yang mesra dipangil  Mat Sabu menjelaskan, “Semua itu tuduhan dan ia tidak menjejaskan parti (AMANAH),” ujarnya.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujud individu tertentu yang berkuasa menawarkan projek bagi mendapat sokongan ahli dalam pemilihan parti itu.

Anwar berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpin yang menggunakan taktik kotor untuk menang jawatan.

Ketua Pesuruhjayanya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya memerlukan maklumat lanjut berkaitan isu berkenaan supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

Rombakan kabinet

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau tidak tahu menahu berkaitan rombakan kabinet yang mungkin akan berlaku selepas pemilihan PKR.

“Saya tidak mendengar apa-apa lagi…saya baru mendengar daripada wartawan,” ujarnya.

Ditanya setujukah jika diadakan rombakan kabinet? Katanya AMANAH akan serahkan kepada keputusan Perdana Menteri.

Ditanya lagi sama ada AMANAH berpuashati dengan pencapaian barisan menteri dan timbalan menteri?

Mohamad berkata,”kita akan berusaha meningkat hari-hari, kita ‘happy’, tapi kena tingkatkan lagi.”ujarnya.

Pada Khamis Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata, belum mempertimbangkan melakukan rombakan Kabinet yang baru berusia 6 bulan dibentuk selepas menang pilihan raya pada 9 Mei lalu.

Bagaimanapun beliau berkata, berkemungkinan ada desakan dalam gabungan PH yang terdiri dari PKR, DAP dan AMANAH yang mungkin mendesak rombakan kabinet dilakukan, beliau akan pertimbangkan.

“Saya tidak akan melakukannya (rombakan), tetapi PH mungkin mahu. Mereka mungkin mahu, mereka mungkin desak.

“Jadi, saya perlu pertimbangkan. Bagaimanapun, bagi diri saya, saya belum buat keputusan berkaitan rombakan,” katanya di akhir Sidang Kemuncak Asean ke-33.