Malaysia Dateline

Jawapan KJ tidak meyakinkan, rakyat mungkin perlu pertimbang ‘uninstall’ MySejahtera

Berikutan jawapan Menteri Kesihatan tidak meyakinkan, rakyat Malaysia mungkin perlu mempertimbangkan tindakan menyahpasang (uninstall) aplikasi MySejahtera sebagai langkah melindungi data peribadi mereka daripada risiko yang tidak diingini.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Razak Ridzuan isu aplikasi MySejahtera yang menimbulkan keraguan terhadap keselamatan data peribadi rakyat Malaysia harus diselesaikan segera oleh menteri terbabit.

“Jawapan Khairy Jamaluddin tidak begitu meyakinkan dan masih menimbulkan banyak persoalan bagaimana pengurusan data dan maklumat peribadi rakyat Malaysia diberi kebenaran diuruskan oleh pihak ketiga tanpa kontrak, terma dan syarat yang jelas,” ujarnya.

Katanya, pendedahan dokumen mahkamah yang mendedahkan Entomo (Kpisoft) bersetuju untuk memindahkan harta intelek dan lesen perisian MySejahtera kepada MySJ Sdn Bhd menerusi perjanjian berjumlah RM338.6 juta yang akan terpakai sehingga akhir 2025 juga menimbulkan satu persoalan besar.

“Bagaimana Khairy yang mempertahankan tindakan memberi kebenaran kepada Kpisoft yang kemudiannya menggunakan nama Entomo untuk mengutip dan menyimpan data peribadi rakyat Malaysia yang kononnya dibuat secara percuma sebagai tanggungjawab sosial korporat, kemudiannya menuntut bayaran RM 338.6 juta kepada MySJ.

“Ini jelas menunjukkan kelemahan pihak kerajaan dalam meneliti setiap keputusan yang dibuat yang akhirnya memakan diri dan merisikokan rakyat Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan.

Jawapan KJ tidak meyakinkan, rakyat mungkin perlu pertimbang 'uninstall' MySejahtera
Aplikasi MySejahtera

Apa yang lebih penting, katanya, sejauh mana jaminan keselamatan data peribadi rakyat Malaysia dipelihara dan apakah benar tidak akan berlaku pencabulan data tersebut.

Sedangkan katanya, Khairy mengakui tiada kontrak antara kerajaan dengan Entomo ketika dia mula menjadi menteri kesihatan atas alasan syarikat itu menawarkan untuk membangunkan dan menyelia perkhidmatan aplikasi sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pada 24 Mac 2022, sidang Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) telah membangkitkan persoalan tentang penjualan aplikasi pengesanan Covid-19 kepada sebuah syarikat swasta.

Keputusan kerajaan untuk ‘penyerahan’ ini telah diputuskan oleh cabinet pada tanggal 26 November 2021. Kebenaran telah diberikan oleh cabinet kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme runding terus untuk mengambilalih aplikasi MySejahtera.