Jawatan kuasa peringkat tertinggi ditubuh bincang kos sara hidup

Sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi akan ditubuh bagi membincangkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) tentang isu kos sara hidup yang turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian yang akan di pengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalsn Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid HamidiSebuah jawatankuasa peringkat tertinggi akan ditubuh bagi membincangkan pandangan badan bukan kerajaan (NGO) tentang isu kos sara hidup yang turut dianggotai enam menteri dan ketua setiausaha kementerian yang akan di pengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid  berkata  menteri terlibat ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Menerusi jawatankuasa ini, saya akan menjemput pengerusi NGO untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatakan sendiri luahan dan pandangan berhubung isu kos sara hidup,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Deklarasi Prioriti 2016 – Ekonomi Keutamaan Kita hari ini.

Majlis anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YDSM) yang turut dihadiri Pemegang Amanah YDSM Tan Sri Alimuddin Mohd Dom itu disertai 50 NGO pelbagai kluster.

Ahmad Zahid berkata jawatankuasa itu dijadual bermesyuarat pada awal Januari depan bagi membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh 50 NGO berkenaan.

Pada majlis itu, Alimuddin membentangkan enam resolusi yang dicapai NGO terbabit dan YDSM dalam menangani cabaran ekonomi 2016 termasuk kos sara hidup.

Resolusi itu adalah memperkasa kemapanan mahasiswa dengan memberi dorongan dan bantuan yang komprehensif untuk menjadi penggerak dan penjana utama ekonomi; memperkasa peranan wanita melalui skim latihan keusahawanan, penubuhan koperasi barang dapur, biro pengurangan beban hutang keluarga dan institut pembantu rumah bertauliah; serta memupuk dan meluaskan budaya keusahawanan di semua peringkat termasuk usahawan seni, budaya, kesihatan dan kecantikan.

Resolusi lain adalah memfokuskan kepada agenda ‘satu keluarga satu usahawan’; memastikan kesejahteraan hidup miskin bandar, miskin tegar, golongan kelainan upaya dan warga emas; serta melaksanakan pelan tindakan drastik dalam penguatkuasaan kawalan harga barangan.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid berkata jawatankuasa itu merupakan kesinambungan kepada Jawatankuasa Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang turut dipengerusikannya.

“Apa yang dibincangkan oleh jawatankuasa peringkat tertinggi ini akan dibawa ke jawatankuasa kabinet untuk diambil langkah sewajarnya,” kata timbalan perdana menteri.

Beliau bagaimanapun meminta pemimpin NGO dan rakyat memahami faktor yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan seperti pengangkutan awam serta tol.

“Marilah kita sama-sama tidak menunding jari tetapi sebaliknya mencari jalan terbaik, apakah cara holistik untuk menangani kos sara hidup.

“Ini tentunya melibatkan perjanjian-perjanjian konsesi beberapa projek raksasa sebelum ini dan harus dilihat kos sara hidup ini bergantung juga kepada bahan-bahan import yang secara relatifnya mempunyai hubungan dengan kos pengeluaran dan kos pengimportan,” katanya.

TAGS