Jawatan Presiden AMANAH tidak dipertandingkan

Jawatan Presiden AMANAH tidak dipertandingkan

Mohamad Sabu

Jawatan Presiden AMANAH tidak akan dipertandingkan semasa sesi pemilihan pimpinan baharu yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember ini.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu memberitahu kesemua 27 ahli jawatankuasa yang baharu menang dalam sesi pemilihan yang julung kali diadakan itu akan memilih presiden parti.

“Tidak (dipertandingkan). Dia (presiden parti) akan dipilih oleh sekumpulan ahli jawatankuasa yang menang,” ujarnya.

Mohamad berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan penubuhan jawatankuasa Wanita Muda AMANAH Nasional (WARDA) di Wisma AMANAH Negara di ibu negara hari ini.

Beliau juga menegaskan akan memantau sekiranya wujud gejala politik wang.

“Kami akan memantau sekiranya berlaku politik wang tetapi saya percaya tidak akan berlaku kerana kami bukan kaya.

“Sesiapa sahaja boleh menawarkan diri untuk bertanding tetapi saya meminta supaya para pemenang nanti untuk bersedia berkhidmat kepada rakyat dan bukannya bertanding bagi mendapat sebarang ganjaran lain.

“Ini terutamanya kerana kita adalah parti pemerintah,” katanya menjawab soalan pemberita kemungkinan adanya politik wang semasa sesi pemilihan.