Malaysia Dateline

Datuk Saifuddin Abdullah

Jawatan Tan Kok Wai Pengerusi MCBC bukan duta khas ke China

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan Anggota Parlimen Cheras Tan Kok Wai yang juga Pengerusi DAP dilantik sebagai pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).

Beliau dilaporkan berkata, jawatan Tan adalah pengerusi MCBC untuk Wisma Putra dan beliau bukan duta khas ke China.

“Sehingga hari ini tiada surat (pelantikan Tan sebagai duta khas). Jadi dalam konteks kami, beliau adalah pengerusi MCBC,” katanya seperti dipetik The Star hari ini.

Saifuddin juga berkata, tidak akan ada lagi lantikan politik bagi jawatan diplomat

Bagaimanapun kenyataan Saifuddin bertentangan dengan laporan media sebelum ini babawa Tan dilantik menjadi duta khas ke China bermula 1 Ogos lalu bagi menggantikan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting.

Pelantikan itu juga disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong di Parlimen.

Liew memberitahu Dewan Rakyat bahawa jawatan itu tidak berstatus menteri dan dibuat berdasarkan kontrak.

Berita pelantikan Tan mencetuskan bantahan daripada pembangkang memandangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini mengkritik pelantikan seumpama itu yang dibuat pentadbiran BN atas sebab ia membazir wang negara.

Namun Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke berkata pelantikan itu tidak bertentangan dengan manifesto pilihan raya HARAPAN.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata, manifesto hanya menyatakan tiada lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tetapi bukan untuk wakil kerajaan.