Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) 2 bukanlah tawaran semberono kepada parti parti politik di Malaysia Timur untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Kelvin Yii Lee Wuen berkata, tawaran PH mewujudkan jawatan itu bagi Malaysia Timur bagi memakmurkan rakyat Sabah dan Sarawak memperolehi kemajuan yang setara dengan penduduk di Semenanjung.
Tegasnya, tawaran PH itu tidak sama tujuannya sebagaimana dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan tiga jawatan TPM.
“Jawatan TPM 2 yang dijanjikan oleh PH sejak era Pakatan Rakyat sebelum ini sebagaimana dinyatakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin adalah bagi tujuan mempercepatkan kemajuan di Sabah dan Sarawak.
“Jawatan itu juga bersesuian dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 yang diluluskan tahun ini dan memberi taraf sama rata kepada negeri Sabah, Sarawak serta Semenanjung,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Pada 23 Oktober lalu, BN mengumumkan jaminan untuk melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi mengisi tiga jawatan TPM.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilapor berkata jawatan tiga TPM itu adalah lebih baik berbanding membayar gaji dan elaun kepada empat Menteri Kanan, yang dipraktikkan kerajaan campuran pada masa ini.
Sementara itu, PH mengumumkan dua jawatan TPM, iaitu membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).
Mengulas lanjut, Kelvin Yii berkata, peranan TPM 2 bagi memastikan lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan serta memantau pembangunan yang terbaik untuk rakyat di kedua dua negeri.
“Tambahan pula kedudukan Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan yang bakal dimajukan secara besar besaran oleh pemerintah negara jiran kerana ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara akan dipindahkan ke sana,” jelasnya.
“Sehubungan itu, seharusnya Sabah dan Sarawak mempunyai infrastruktur berkelas dunia dan boleh menerima limpahan kemakmuran yang bakal dibawa oleh negara kuasa ekonomi ke-5 besar di dunia sebelum tahun 2030 berkenaan,” tambahnya lagi.
Baca juga “Berulang kali kakak minta maaf, kakak tak sengaja”, ibu cerita semula insiden kakak tertikam adik