Malaysia Dateline

Jawatankuasa Bebas Darurat perlu nasihat YDPA tidak lanjut darurat selepas 1 Ogos

Pakatan Harapan mengekalkan pendirian yang telah diumum sebelum ini, iaitu Darurat yang diisytihar pada 11 Januari lalu tidak memberi kesan kepada usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 dan perlu ditamat segera.

Menurut Majlis Presiden PH berdasarkan bukti sains dan data, keadaan pandemik semakin meruncing dan bertambah teruk sejak Darurat diisytihar dengan jumlah kes positif dan kematian harian yang kekal tinggi.

Justeru, ketiga-tiga ketua Parti iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng menegaskan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang akan mengadakan mesyuarat akhir Julai ini perlu menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk tidak
melanjutkan Darurat selepas 1 Ogos 2021.

Selain itu, katanya Jawatankuasa perlu menerima bukti sains dan data bahawa Darurat tidak memberi kesan kepada usaha pengawalan pandemik COVID-19.

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat juga akan tamat fungsinya dan terbubar selepas 1 Ogos 2021,” katanya.

Terdahulu, DYMM Raja-Raja Melayu bertitah berkaitan isu Darurat seperti yang terkandung di dalam kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 16 Jun lalu, iaitu “tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021”.