Malaysia Dateline

Jawatankuasa dibubar, Najwan dilucutkan dari jawatan Ketua AMK Selangor

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Akmal Nasir didakwa telah membubarkan seluruh jawatankuasa AMK negeri itu berkuatkuasa serta merta sekaligus melucutkan jawatan Ketua AMK Selangor, yang disandang Najwan Halimi.

Menerusi surat yang dihantar ke Malaysia Dateline, kenyataan itu menyebut ‘Rombakan Menyeluruh Struktur Jawatankuasa AMK Selangor’ yang ditandatangan Setiausaha AMK Malaysia, Ahmad Syukri Che Ab Razak.

Surat yang bertarikh 28 Jun 2021 itu juga telah disahkan oleh AMK.

Surat itu menyatakan, ada keperluan untuk AMK Malaysia melakukan rombakan strategik bagi bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 dan memastikan gerak kerja yang lebih berfokus dan tersusun.

“PKR melalui Kongres Nasional Tahunan 2020 telah memutuskan bahawa tempoh memegang jawatan bagi sesi kepimpinan 2018/2021 akan dilanjutkan sehingga 2023.

“AMK memandang perkara ini sebagai salah satu isyarat untuk seluruh jentera parti bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“Oleh itu satu rombakan menyeluruh akan dilakukan di peringkat AMK Selangor bagi memastikan AMK Selangor akan mampu menjadi tulang belakang dalam memperkukuh jentera Keadilan khususnya di negeri Selangor,” kata surat itu.

Sementara itu, AMK Malaysia menyebut bahawa berkuatkuasa daripada tarikh surat dikeluarkan, Jawatankuasa AMK Negeri Selangor secara rasminya dibubarkan dan Ketua AMK Malaysia akan menjalankan proses konsultasi mengikut Peraturan Tetap AMK 2014 bagi memilih Ketua AMK Negeri Selangor yang baharu.