Jawatankuasa Himpunan Tangkap Azam Baki tukar lokasi ke Bangsar

Oleh NASUHA RAHMAN

Himpunan aman #TangkapAzamBaki tetap diteruskan esok tetapi beralih lokasi selepas pihak polis mengumumkan penutupan enam jalan menghala ke Kuala Lumpur serta 24 stesen tren LRT, Monorel, KTM bermula jam 7.00 pagi ini.

Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki dalam kenyataanya malam tadi mengesahkan akan meneruskan himpunan pada hari ini, jam 11:00 pagi, Sabtu, 22 Januari 2022 di bawah jambatan LRT Bangsar, Jalan Bangsar.

Kumpulan itu percaya arahan oleh pihak atasan Polis Diraja Malaysia bertujuan menghalang kempen #TangkapAzamBaki yang bakal berlangsung di tiga lokasi; Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.

“Kami ambil maklum dan amat kagum dengan kerahan seramai 1,010 pegawai dan anggota PDRM bagi tujuan Operasi Menyelamat Azam Baki yang menyebabkan sebahagian besar bandaraya Kuala Lumpur dalam keadaan ‘lockdown’ untuk hanya satu individu.

“Tindakan keterlaluan ini menimbulkan gambaran seolah-okah ada rahsia yang melibatkan watak-watak berprofil tinggi ingin ditutup, terutamanya berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita belum lupa, mantan Perdana Menteri Najib Razak sendiri pernah ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia disebabkan beliau terpalit dengan rasuah.

“Sebaliknya Azam Baki hanya Ketua Pesuruhjaya SPRM tapi seolah-olah lebih kebal dan berkuasa berbanding orang yang pernah memegang jawatan tertinggi negara ini,”kata mereka.

#TangkapAzamBaki yang disokong oleh 33 buah NGO dan 11 buah organisasi politik akan dijalankan secara aman dengan menepati SOP bagi meminimumkan penyebaran wabak COVID serta keselamatan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kumpulan terbabit menyeru seluruh rakyat yang cintakan negara untuk bersama mereka, mempertahankan integriti dan menyebar kebencian terhadap rasuah dan perasuah.