Malaysia Dateline

Jawatankuasa kerja reformasi Dewan Negara untuk pembangunan negara

Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara mampu menyatukan anggota Dewan Negara yang berbeza ideologi politik bagi mencapai kepentingan lebih besar untuk pembangunan negara.

Pengerusi jawatankuasa itu, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata jawatankuasa berkenaan yang ditubuhkan tanpa mengira latar belakang parti politik turut memberi cadangan yang baik bagi tujuan reformasi institusi Dewan Negara.

“Jumlah senator daripada pihak pembangkang yang melebihi senator diwakili kerajaan pada masa ini bukanlah isu utama sebaliknya kepentingan dan keperluan rakyat menjadi keutamaan kami. Sekiranya ia berjaya diterapkan dalam asas reformasi ini, maka tiada istilah ‘pemenang mengambil semua’ dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

“Kita juga ingin memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai fungsi institusi Dewan Negara yang sebenarnya berikutan ramai warga awam mungkin salah faham mengenai kedudukan Dewan Negara itu sendiri.

“Senator di Dewan Negara terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, kita ada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), orang berketurunan Iban dan sebagainya yang membawa suara rakyat di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara Bernama News Channel di sini malam ini.

Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara yang dianggotai 14 anggota Dewan ditubuhkan pada Disember lepas bagi menambah baik institusi berkenaan.

Penubuhan jawatankuasa itu hasil perbincangan sesama anggota dan mendapat perkenan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A.Vigneswaran, turut mencadangkan beberapa perkara bagi reformasi Dewan Negara dengan mengangkat kebebasan Dewan Negara seperti diperuntukkan Perlembagaan, pengurusan dan pentadbiran lebih cekap serta budaya politik baharu melangkaui kepartian dan kelompok tertentu.

Sementara itu, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara mempunyai komitmen membuat pembaharuan dalam landskap politik negara serta pembangunan negara ke arah lebih baik dan menyeluruh.

“Kita tidak mahu politik kepartian merosakkan negara dan menggagalkan peranan Dewan Negara dalam membuat semak dan imbang kepada kerajaan.

“Bagaimanapun, beberapa cadangan dan kajian perlu dilakukan bagi memperkasa institusi Dewan Negara agar dapat memainkan peranan sepatutnya bagi membawa politik di negara ini kepada satu tahap yang matang,” katanya.