Malaysia Dateline

Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi rundingan pembahagian kerusi di Selangor

Satu jawatankuasa khas akan dibentuk oleh Pakatan Harapan bagi meneliti pembahagian kerusi membabitkan parti gabungan di Selangor.

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kegagalan PH Selangor memuktamadkan peruntukan kerusi di negeri itu disebabkan “salah faham” berkaitan kuasa rundingan membabitkan semua parti di setiap peringkat.

“Ada beberapa salah faham untuk meneliti pembahagian kawasan. Mereka meletakkan pada jawatankuasa pilihan raya. Tetapi sepatutnya jawatankuasa khas.

“Kita telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan mengambil alih dan menyelesaikan pembahagiaan kerusi di negeri ini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Petaling Jaya hari ini.

Rundingan kerusi di Selangor masih lagi belum dimuktamadkan parti dalam gabungan Pakatan Harapan yang dianggotai AMANAH,DAP, PKR dan Bersatu.

Menjawab mengenai kekecohan membabitkan ahli akar umbi Beresatu di Negeri Sembilan pada Ahad lalu, Pengerusi Bersatu ini berkata, ketidakpuasan hati itu berlaku membabitkan segelintir ahli akar umbi.

“Ada sedikit rasa tidak puas hati, peliknya, bahagian yang dapat kerusi yang bising. Yang tak dapat kerusi tak komplen apa-apa,” katanya.

Berkenaan rundingan kerusi di negeri-negeri lain, Dr Mahathir berkata ianya masih lagi diperingkat rundingan termasuk di Sabah.

Beliau yakin rundingan kerusi semua negeri akan selesai dirundingkan sebelum PRU14 diumumkan dengan menamakan satu calon bagi setiap kawasan Parlimen dan Dun.

“Kita akan jadi satu pakatan yang akan membolehkan kita lawan BN.” ujarnya.

Dr Mahathir berkata Majlis Presiden PH telah meneliti perkembangan rundingan di Sabah dan berpuas hati dengan usaha yang dijalankan di sana berkemungkinan Warisan akan bekerjasama dengan PH di negeri itu.