Malaysia Dateline

Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen masih berperanan, kata Dr Hasan Bahrom

Ahli Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC), Datuk Dr Hasan Bahrom menyangkal cadangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya jawatankuasa itu digantung serta-merta kerana tidak berfungsi.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, walaupun jawatankuasa pilihan khas sering kali ditinggalkan dalam pelantikan jawatan utama, namun jawatankuasa tersebut masih boleh memberi pandangan terhadap sebarang pelantikan.

“Pada saya, cadangan Tuan Ibrahim itu tidak munasabah, kerana jawatankuasa ini masih berperanan walaupun ditinggalkan dalam pelantikan jawatan utama.

“Pihak kami masih lagi boleh memberi pandangan yang mungkin boleh didengar seterusnya mempertimbangkan pendapat daripada kami, iaitu ahli jawatankuasa pilihan khas,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Jumaat lalu, Pas menerusi Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya jawatankuasa berkenaan digantung sehingga Pakatan Harapan (PH) menghormati janjinya sendiri.

Tuan Ibrahim berkata, pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan jawatankuasa tersebut tidak memainkan peranannya.

Ketika ditanya berhubung dua lagi pelantikan iaitu Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan juga Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Dr Hasan berkata, ianya dilihat mengikut prosedur setelah pihak berkuasa memberi taklimat.

Namun katanya, pihaknya hanya diberi taklimat selepas pelantikan dijalankan dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Fungsi jawatankuasa tidak jelas, malah kami juga tidak tahu bila kami sepatutnya menjalankan peranan sama ada sebelum atau selepas pelantikan dijalankan.

“Pelantikan Latheefa Koya langsung tidak diketahui dan pada masa sama, kami juga tidak tahu prosedur mengenai kaedah pelantikan kerana tidak diberi taklimat,” jelasnya.

Difahamkan, Pengerusi jawatankuasa berkenaan, William Leong akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad esok berhubung isu itu.

Mengulas lanjut, Dr Hasan yang juga Ahli Parlimen Tampin memberitahu, pandangan yang akan disuarakan kepada Dr Mahathir esok, adalah mengenai ketidakpuashatian daripada pihak ahli jawatankuasa.

“Disebabkan isu ini timbul secara mengejut, kami (tujuh ahli jawatankuasa) juga ada mengadakan perbincangan menerusi aplikasi Whatsapp,” jawabnya ringkas.

Selasa lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal.

Kritikan pelantikannya lebih terarah kepada proses pemilihan kerana Dr Mahathir dikatakan membuat keputusan tanpa merujuk kepada Majlis Presiden PH, Kabinet mahu pun PSC.

Namun, pada 1 Syawal lalu, Dr Mahathir berkata, kuasa melantik adalah prerogatif Perdana Menteri.