Jawatankuasa khas siasat kematian Allahyarham Adib ditubuhkan

Oleh NASUHA RAHMAN

Kabinet memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhamad Adib Mohd Kassim

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dalam kenyataanya berkata, jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (parlimen dan undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menTeri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

“Penubuhan jawatankuasa ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kematian anggota bomba terbabit mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Katanya mesyuarat kabinet pada 8 Oktober 2021 juga memutuskan untuk membuat semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh serta siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Bagi kes bekas Peguam Negara itu, kabinet juga bersetuju tubuh sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan Tommy Thomas di dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Pasukan petugas akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat manakala Bahagian Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara bertindak sebagai urusetia.

“Petugas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy mengenai pemnyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampai dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik dan pelanggaran sumpah kerahsiaan,” katanya.

Ketiga-tiga jawatankuasa bagi isu-isu ini dipersetujui oleh Jemaah Menteri dan akan diberi tempoh selama ena, bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.