Malaysia Dateline

Jawatankuasa kumpul petisyen tamatkan darurat lancar kempen

Satu Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat hari ini ditubuhkan untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar darurat ditamatkan segera selepas ianya diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Januari lalu.

Pengerusinya, Khalid Samad berkata, laman web rasmi juga ditubuhkan selari dengan penubuhan jawatankuasa tersebut yang bertujuan mengumpul tandatangan dari orang ramai untuk membantah proklamasi darurat.

Beliau berkata, petisyen tersebut telah dirangka lebih awal dan dilancarkan secara rasmi hari ini menerusi laman sesawang tamatdarurat.com untuk orang ramai turut serta menandatangani bantahan mereka.

“Petisyen ini telah digerakkan dengan lebih 100 badan bukan kerajaan (Ngo) menandatangani bantahan darurat

“Sepanjang usaha mendapatkan tandatangan, kita telah diminta oleh ramai untuk menyediakan web page untuk kempen ini agar memudahkan semua yang ingin darurat ditamatkan, menandatangani petisyen yang disediakan.

“Kami menyasarkan untuk menyerahkan petisyen tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum Ramadan ini,” katanya ketika sidang akhbar di Hotel Tamu, Kampung Baru hari ini.

Khalid Samad menunjukkan laman sesawang tamatdarurat.com untuk orang ramai turut serta menandatangani bantahan mereka.

Jawatankuasa merayu tamatkan darurat itu turut dianggotai oleh Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya; bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teressa Kok; Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang; Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maiden.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan pengisytiharan darurat selepas mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tempoh pelaksanaan darurat berkuatkuasa hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal.

Muhyiddin berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan darurat, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional turut mengalu-alukan penglibatan kumpulan ahli politik kerajaan untuk menandatangani petisyen berkenaan dan menyokong darurat ditamatkan segera.

Beliau menjelaskan, jawatankuasa berkenaan sama sekali tidak digerakkan atas nama Pakatan Harapan (PH) mahupun mana-mana ahli politik.

“Kita terbuka bersama dengan mana-mana ahli politik dan parti mana sekalipun. Sebenarnya Parti Warisan Sabah (Warisan) pun dalam jawatankuasa kita.

“Dari BN, Umno, GPS, Pas kalau dia sayang negara kita dan rasa darurat tak wajar diteruskan serta perlu ditamatkan segera, kita alu-alu kan tandatangan. Cuma pada masa sekarang, tak ada penglibatan pihak kerajaan,” katanya.