Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen ke-14 Wong Kah Woh akan memanggil anggota jawatankuasa ini untuk bersidang pada 26 Julai 2021, Isnin, jam 2 petang.
Tindakan ini menurut Wong Kah Woh bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 28 Jun 2021 yang mahu Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen bersidang bagi menjalankan fungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap Kerajaan.
Beliau merupakan Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, surat pemakluman tarikh mesyuarat PAC Parlimen sudah dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, hari ini.
“Mesyuarat ini, akan diadakan secara fizikal membabitkan semua ahli-ahli PAC serta ahli-ahli ex officio Jawatankuasa ini bagi membincangkan mengenai jadual mesyuarat PAC yang akan datang terutama sekali membabitkan kes-kes yang tertangguh sebelum ini, serta mengemaskini jadual mesyuarat,” kata beliau.
Bagaimanapun, katanya jawatankuasa ini terbuka untuk mengadakan mesyuarat ini secara hibrid sekiranya tidak melanggar mana-mana Peraturan Mesyuarat Majlis-Majlis Dewan Rakyat.