Malaysia Dateline

Jawatankuasa pelancongan Langkawi untuk selaraskan aktiviti, promosi VM2020

Pemain industri pelancongan di sini telah bersetuju mewujudkan sebuah Jawatankuasa Pelancongan Langkawi untuk menyelaras aktiviti dan promosi yang akan dianjurkan serta dilaksanakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Persetujuan tersebut dicapai hasil perbincangan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kedah/Perlis, Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi, Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah/Perlis, Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi (LTGA) serta aktivis masyarakat yang aktif mempromosi kisah legenda pulau ini.

Naib pengerusi MAH Cawangan Kedah/Perlis Razmi Rahmat berkata kata putus itu disifatkan satu kejayaan kerana buat pertama kali semua NGO yang aktif dalam sektor pelancongan Langkawi berjaya dihimpunkan bersama untuk mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke pulau peranginan bebas cukai ini sempena VM2020.

“Selain VM2020 kita juga beri fokus semasa luar musim di mana jumlah kedatangan pelancongan merosot agar kaedah terbaik dapat dicari untuk menarik serta meningkatkan kembali kehadiran mereka. Semua maklum balas yang diterima tadi akan diteliti dalam proses menyediakan pakej serta promosi yang bakal dijalankan.

“Keputusan mewujudkan Langkawi Tourism Committee ini juga dibuat supaya pemain industri pelancongan di pulau ini bergerak sendiri tanpa bergantung kepada agensi yang berkenaan, namun sekiranya ada perkara yang berada di bawah tanggungjawab agensi tertentu kita akan rujuk kepada mereka terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas sesi bicara santai aktiviti pelancongan Langkawi dan promosi sempena VM2020 bersama lebih 40 pemain industri di sini.

Mengulas lanjut, Razmi yang juga Pengurus Besar Adya Hotel berkata semua usul yang diterima dalam sesi tersebut akan dibentangkan dalam satu lagi mesyuarat yang dijangka diadakan minggu depan.

“Banyak usul diterima tadi paling popular ialah cadangan supaya dilihat kembali hala tuju pelancongan Langkawi, cukai pelancongan yang dikutip digunakan kembali untuk tujuan promosi serta mengetengahkan kembali kisah-kisah legenda di pulau ini sebagai tarikan,” katanya.

— BERNAMA