Malaysia Dateline

Jawatankuasa Penguatkuasaan atasi masalah infrastruktur jalan ditubuhkan

Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Penguatkuasaan telah ditubuhkan bagi mengatasi masalah jalan raya yang menghubungkan antara Minyak Beku dan bandar Batu Pahat, Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggaran Khairuddin A Rahim berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan pada 12 Februari lepas, susulan aduan yang dibuat oleh penduduk setempat.

Khairuddin A. Rahim

“Kebanyakkan lori-lori muatan berat berkenaan telah menggunakan jalan yang tidak ditetapkan untuk kenderaan berat dan ia mengundang kebimbangan kepada penduduk serta perkara ini perlu diatasi dengan segera.

“Di sekitar sini terdapat banyak projek-projek seperti perlombongan batu, bauksit, kelapa dan pelbagai lagi serta ada di antaranya boleh membahayakan pengguna yang lain,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menyarankan agar penguatkuasaan dijalankan seperti had maksimum muatan setiap lori perlu diperketatkan lagi.

Selain itu, beliau berkata penguatkuasaan terhadap lori yang bermuatan berat itu perlu menutup bahan yang dibawa oleh mereka demi keselamatan.

“Penguatkuasaan terhadap kelajuan lori yang melalui jalan perkampung perlu dihadkan agar ia dapat dikawal kerana perkara itu amat berbahaya memandangkan jalan tersebut agak sempit sekiranya lori bermuatan berat melalui jalan berkenaan.

“Sekiranya lori-lori berkenaan gagal mematuhi penguatkuasaan yang ditetapkan, cadangan saya adalah untuk pihak berwajib seperti JPJ dan Polis dapat mengambil tindakan seperti mengenakan kompaun atau saman kepada mereka.

“Saya menyarankan agar penggunaan sistem GPS dipasang pada setiap lori dan ia mampu menghubungkan ke Pejabat Tanah dan Galian, Polis serta JPJ.

“Perkara ini boleh diletakkan sebagai syarat kelulusan lesen perlombongan sekiranya pemasangan GPS ini tidak dilakukan oleh lori-lori dari tapak tersebut,” ujarnya lagi ketika ditemui.

Antara syarat kelulusan lesen yang lain menurutnya adalah menyediakan deposit Wang Amanah anggaran RM 250,000 setahun yang akan diberikan kepada JKR untuk penyeliaan sebarang kerosakkan jalan.

Beliau juga telah dimaklumkan bahawa terdapat kerugian serta kerosakkan yang berlaku di jalan berkenaan seperti, jalan berlubang, rumah yang terjejas, keselamatan orang kampung, bunyi bising serta persekitaran didapati berhabuk dan berdebu.