Malaysia Dateline

Jawatankuasa peringkat negeri pantau NFCP bakal ditubuh

Satu jawatankuasa di peringkat negeri bakal ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

NFCP, yang bakal dilancarkan pada 19 Sept ini, merupakan satu pelan yang bakal melihat jaringan mudah alih dan tetap negara, menjadi lebih menyeluruh selain berkualiti tinggi dan berpatutan.

Menyambut baik pelan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan negeri akan memberikan tumpuan sewajarnya pada NFCP.

“Sebagai maklum balas pantas pihak kerajaan negeri terhadap pelan NFCP ini, satu inisiatif yang telah diambil oleh pihak kerajaan negeri adalah dengan mengadakan perbincangan bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Selatan bagi menubuhkan satu jawatankuasa di peringkat negeri yang akan berfungsi untuk memantau pelaksanaan pelan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, jawatankuasa itu juga ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan NFCP serta lain-lain inisiatif pembangunan infrastruktur untuk tujuan meningkatkan perkhidmatan komunikasi dan multimedia di negeri Johor.

“Ia juga berperanan untuk mengenal pasti halangan dan cabaran seterusnya mencadangkan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang boleh membantutkan perancangan yang telah dibuat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar itu.

Menurut Dzulkefly, pelaksanaan pelan NFCP itu dilihat selaras dengan matlamat kerajaan negeri yang berhasrat menggalakkan penglibatan rakyat terutamanya dalam bidang perniagaan yang akan membangunkan ekonomi digital khususnya di Johor.

“Pelan itu juga akan memberikan manfaat khususnya kepada masyarakat di kawasan luar bandar yang akan menikmati perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti dan berkelajuan tinggi,” kata beliau sambil menambah secara langsung dapat mengelakkan migrasi golongan belia dari kawasan luar bandar ke bandar