Jawatankuasa Pilihan Khas akan dibentuk menaiktaraf sistem Parlimen, kata Mohamad Ariff

Jawatankuasa Pilihan Khas akan dibentuk menaiktaraf sistem Parlimen, kata Mohamad Ariff

Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, satu Jawatankuasa Pilihan Khas akan dibentuk dalam jangka masa terdekat bagi memastikan sistem parlimen berperanan lebih baik.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas itu akan dianggotai pelbagai kepakaran untuk memantapkan fungsi Parlimen.

“Jawatankuasa Pilihan Khas bukan bertujuan untuk membahas atau memutuskan sesuatu topik perbincangan dikalangan anggota parlimen semata-mata.

“Sesiapa yang mempunyai kepakaran dalam topik tertentu seharusnya berada dalam jawatankuasa itu.

“Jawatankuasa ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan kita akan wujudkan beberapa jawatankuasa lain lagi,” ujarnya kepada Malaysia Dateline dalam temubual yang diadakan di pejabat Speaker di bangunan Parlimen.

Setakat ini sudah ada lima jawatankuasa khas di bawah peraturan Parlimen.

Beliau berkata, menaiktaraf Parlimen adalah salah satu tujuan dan harapan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mohamad Ariff yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat ke-9 itu,berazam akan memastikan pelaksanaan jawatankuasa itu berpandukan kepada manifesto PH.

“Selain daripada itu terdapat cadangan untuk menubuhkan sistem komiti sistem jawatankuasa lebih baik. Mengembalikan sistem lama yang wujud di bawah akta parlimen,” terangnya.

Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 yang berlangsung selama 20 hari itu, akan berakhir pada 16 Ogos ini.

Beliau optimis perubahan kepada sistem Parlimen secara keseluruhan akan boleh dilaksanakan ke arah perubahan sistem yang lebih mantap dan baik.

“Semua berada dalam manifesto. Persoalan sama ada kita wujudkan perubahan dalam masa yang singkat mungkin, ia terlalu awal untuk kita jangkakan dalam tempoh lima tahun pertama ini.

“Bagaimanapun kita perlu proses (mengkaji) dulu dan bekerja keras untuk mencapai matlamatnya.

“Idea sudah ada dan kita baru nak bermula. Tidak perlu fikirkan semua dalam manifesto, cuma perlaksanaan dengan sistem jawatankuasa terlebih dahulu,” ujarnya lagi.

Dalam manifesto PH Janji 16 untuk mengembalikan kewibawaan institusi Parlimen Malaysia, Kerajaan PH berhasrat akan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan 1963 dengan penambahbaikan dalam perkara tertentu agar akta tersebut sesuai dengan cabaran semasa.

Menurut bekas hakim Mahkamah Rayuan ini lagi, beliau akan memastikan semua janji manifesto dalam Buku Harapan itu akan dapat dilaksanakan dalam tempoh pemerintahan baharu kerajaan Pakatan Harapan.

“Jika saya tidak berusaha sedemikian (melaksanakan manifesto) saya tidak menjalankan tugas saya sebagai Speaker.

“Walaupun Parlimen ada sedikit sebanyak perlu dibaiki kita akan cuba tingkatkan taraf dan wibawa institusi ini.

“Saya mahukan Parlimen yang boleh dibanggakan bukan sahaja di rantau ini tetapi pada tahap dunia merangkumi kemantapan institusi dan budaya demokrasi dalam Parlimen,” ujarnya.

(Ikuti bahagian 2 temubual penuh pada Rabu)

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0