Malaysia Dateline

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu minta penjelasan Azam Baki

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk menjelaskan dakwaan terhadapnya yang timbul sejak dua bulan lalu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, dakwaan serius terhadap pegawai tertinggi SPRM telah menyebabkan kepercayaan terhadap kerajaan dan agensi pencegah rasuah itu semakin defisit ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ujarnya, Jawatankuasa Pilihan Khas perlu mengemukakan laporannya kepada Dewan Rakyat pada hari pertama mesyuarat pertama Parlimen yang akan bersidang dari 28 Februari hingga 24 Mac 2022.

“Amat mengejutkan apabila Perdana Menteri dan SPRM memandang ringan isu ini kerana tiada sebarang tindakan diambil sejak dua bulan lalu.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri harus bertindak untuk menunjukkan bahawa perkara ini bukan perkara remeh.

“Malah, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu memanggil semua Pengerusi lima jawatankuasa pengawasan SPRM bagi memastikan SPRM melaksanakan tugas pencegahan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara lima pengerusi yang perlu dipanggil segera termasuklah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Ini katanya bagi memberi peluang untuk mereka menjelaskan apa yang telah mereka dilakukan susulan dakwaan serius terhadap Azam Baki lebih dua bulan lalu.

Lim mengingatkan bahawa tujuan lima entiti pengawasan itu dibentuk adalah untuk memastikan SPRM melaksanakan tugasnya secara bebas, telus dan profesional.

“Tapi SPRM telah gagal dalam hal ini berikutan timbul dakwaan serius terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen seharusnya bukan sahaja menyiasat kegagalan SPRM tetapi membuat cadangan bagaimana masalah ini boleh diatasi,” katanya lagi.