Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen siasat Ops Yaman 2

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen siasat Ops Yaman 2

Satu siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada atur gerak trup dan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Arab Saudi dalam Operasi Yaman 2 (Ops Yaman 2) mematuhi prosedur kerajaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengumuman tersebut dibuat bagi pihak Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dan juga Kementerian Pertahanan.

“Menteri Pertahanan dan Kementerian telah memutuskan bahawa siasatan ini akan dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri,” dipetik dari kenyataan itu.

Terdahulu, Chin Tong menyebut tentang langkah tersebut ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, petang tadi.

Semalam, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilapor berkata, operasi yang didakwa tidak mendapat kelulusan Kabinet pentadbiran terdahulu, diketuai dan diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penugasan ATM menerusi Ops Yaman 2 bertujuan membantu urusan logistik penerbangan bagi membawa peralatan alat ganti peluru dan bahan letupan milik pakatan Arab dalam wilayah Arab Saudi.