Malaysia Dateline

Darurat: Apa kata pakar Perlembagaan dalam sidang media pagi ini

Satu sidang media akan diadakan oleh Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, pada jam 11 pagi nanti bersama sekumpulan pakar perundangan dan perlembagaan.

Sidang media berkenaan akan dipengerusikan Khalid Samad, dan disertai tiga lagi panelis lain membincangkan tentang ‘Hak Rakyat dan Darurat: Dari sudut Perlembagaan Negara’.

Antara panelis jemputan yang akan hadir, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah dan Peguam, Mohammad Rafique.

Pada awal bulan ini, jawatankuasa tamat darurat turut mengadakan satu sidang media bersama kumpulan pakar kesihatan dan undang-undang yang menjemput bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai panelis.

Pada April lalu pula, jawatankuasa berkenaan telah menjemput pakar-pakar ekonomi seperti Prof Dr Jomo K Sundram dan Dr Nungsari Mohd Radhi yang membincangkan kesan darurat terhadap kelangsungan ekonomi negara.

Darurat dikuatkuasakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Januari lalu susulan peningkatan angka kes Covid-19 dan dijangka akan ditamatkan pada Ogos ini atau sehingga penularan kes menurun.

Ketika ini, Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenan menerima majlis menghadap jawatankuasa tamat darurat yang difahamkan akan turut disertai kesemua pemimpin utama parti pembangkang bagi memohon darurat ditamatkan segera.