Malaysia Dateline

Jawatankuasa tamat darurat serah surat kali kedua mohon menghadap Agong

Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat hari ini selesai menyerahkan surat permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan satu memorandum tamat darurat yang telah digerakkan awal Mac lalu.

Penyerahan surat itu merupakan kali kedua selepas permohonannya pada 26 Mac lalu masih belum mendapat maklum balas pihak istana.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Presiden Pejuang (Penaja) Pejuang, Datuk Mukhriz Mahathir; dan turut disertai kumpulan MUDA.

Bagaimanapun, tidak kelihatan kelibat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang difahamkan ketika ini berada di Port Dickson menghadiri program di kawasannya.

Khalid membacakan kenyataan media selepas menyerahkan surat untuk menghadap Yang Dipertuan Agong bagi menyampaikan petisyen rayuan menamatkan darurat.

Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Darurat, Khalid Samad berkata, semakin jelas bahawa pengistiharan darurat yang dinasihatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN)-BN telah membawa kesan buruk terhadap ekonomi serta kestabilan politik.

“Kami tuntut supaya darurat ditamatkan dan Parlimen dibenar bersidang seperti biasa.

“Kerajaan PN-BN dilihat mempergunakan darurat sebagai langkah sumbang untuk menyembunyikan tingkah laku yang membelakangkan keharmonian serta tatasusila perlembagaan negara kita.

“Kami dengan ini merafak sembah dan merayu kepada DYMM YDPA untuk bertindak segera menamatkan kesengsaraan rakyat dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku,” katanya dalam sidang media di hadapan Istana Negara sebentar tadi.