Malaysia Dateline

Jawatankuasa Task Force Badminton adakan mesyuarat kali pertama

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) buat pertama kalinya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Task Force Badminton yang diadakan di Majlis Sukan Negara (SKN), semalam.

Timbalannya, Steven Sim Chee Keong berkata, tiga jawatankuasa kecil ditubuhkan dalam mesyuarat tersebut untuk memberi fokus kepada pembangunan sukan badminton dalam negara yang mengutamakan tiga bidang utama.

Katanya, tiga bidang utama tersebut terdiri daripada pembangunan bakat, pembangunan infrastruktur dan organisasi serta kelestarian kewangan.

“Menteri KBS, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah memberikan tempoh selama enam bulan kepada Jawatankuasa ini untuk menyediakan syor terbaik bagi pembangunan sukan badminton di negara kita, sekaligus menjadikan sukan badminton Malaysia hebat sekali lagi.

“Mesyuarat julung kali ini memberikan fokus kepada tiga bidang utama yang kemudiannya bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa kecil untuk menyediakan laporan terperinci setiap bidang utama.

“Jawatankuasa kecil itu akan dipengerusikan oleh Ahmad Faedzal Md Ramli Ketua Pegawai Eksekutif ISN yang akan memberi laporan berkenaan pembangunan bakat.

“Datuk Kenny Goh Chee Keong, Ketua Pegawai Eksekutif Badminton Asia Confederation (BAC) akan mengetuai pembangunan infra dan organisasi; dan Datuk Jack Koh Siaw Nguan, Ketua Pegawai Eksekutif Purple League, akan memberi fokus pada kelestarian kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir, pemegang taruh yang terdiri daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), MSN, Institut Sukan Negara (ISN), kelab-kelab badminton profesional di Malaysia seperti Puchong BC, Cheras BC, Petaling BC serta wakil dari Purple League.

Difahamkan, Jawatankuasa Task Force Badminton ditubuhkan berikutan Sesi Town Hall KBS bersama BAM yang diadakan pada 14 Mac tahun ini di Akademi Badminton Malaysia.

“Saya telah diamanahkan oleh Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Task Force ini.

“Manakala Pengerusi BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi; Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah MSN dilantik sebagai Setiausaha.

“Jawatankuasa Task Force Badminton ini akan menggembleng tenaga semua pihak bagi mengorak strategi terbaik untuk merealisasikan harapan tersebut,” ujarnya.