Malaysia Dateline

Jawi hanya dalam Pendidikan Islam bukan Bahasa Melayu, tegas Siti Kassim

 

Hadirin di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya bertepuk tangan apabila aktivis Siti Kasim menyebut bahawa tulisan Jawi hanya digunakan dalam Pendidikan Islam bukannya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

“Dengan itu tulisan Jawi tidak digunakan dalam Bahasa Melayu kecuali dalam Pendidikan Islam,” katanya dalam kongres membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular hari ini.

Peguam itu turut memetik kenyataan pihak Peguam Negara tentang pengajaran tulisan Jawi yang hanya dalam mata pelajaran Pendidikan Islam iaitu:

“Tidak ada percanggahan dari segi Perlembagaan menjadikan Jawi sebahagian daripada pelajaran Bahasa Malaysia dan memasukkannya dalam Sukatan Pelajaran. Juga tidak ada percanggahan undang-undang bagi Kementerian (Pendidikan) menyuruh sekolah mengajar pelajaran Jawi, tetapi adalah bercanggah dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963 memaksa penuntut-penuntut mempelajari Jawi sebahagian daripada (pelajaran) Bahasa Malaysia.”

Terdahulu, acara Kongres Jawi Kebangsaan anjuran Pasukan Tindakan Seni Khat atau Seni Khat Action Team (Sekat) ketika Siti Kasim mula ke pentas ceramah tergendala beberapa minit bagi membenarkan kumpulan Melayu untuk menyertai program itu.

“Marilah kita mengalu-alukan kedatangan saudara-saudara Melayu kita. Inilah yang kita mahukan supaya tidak ada isu-isu perkauman yang dibincangkan di sini,” kata Siti Kasim.

Beliau kemudiannya berpendapat masalah perkauman di Malaysia bukan sahaja dalam dasar-dasar ekonomi dan sosial tetapi terletak juga kepada perubahan dasar pendidikan.

Siti mendakwa sistem pendidikan nasional telah gagal melahirkan rakyat seperti yang digambarkan dalam Wawasan 2020 yang membayangkan negara Malaysia sebagai “liberal, rasional, inklusif, saintifik dan progresif”.

Sebanyak dua kali Siti menyebutkan ciri-ciri yang termaktub dalam cabaran utama Wawasan 2020 yang telah dilancarkan pada 1991 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

“Selepas lebih daripada 50 tahun sistem pendidikan di Malaysia masih tidak berjaya dalam menangani isu polarisasi ras,” katanya.

Siti juga menganggap identiti kebangsaan telah menjadi kabur ketika banyak kajian akademik membuktikan sekolah vernakular menghalang pembentukan negara bangsa dan perpaduan nasional.

Antaranya, Sia Keng Yaik dalam buku terbitan tahun 2005 hasil kajian PhD dari Universiti Malaya bertajuk SRJK (Cina) Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan: Dilema dan Kontroversi.

Turut menyentuh isu Dong Jiao Zong, Dr Keng Yaik merumuskan: “Tegasnya, penentangan yang ditunjukkan Dong Jiao Zong dan Hua Tuan terhadap pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan di SRJK (C) masih menjadi salah satu penghalang kepada usaha kerajaan untuk merealisasikan integrasi nasional di bawah satu bumbung persekolahan yang menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang tunggal.”

Dalam kongres itu juga, Siti turut didapati memetik Penyata Razak 1956 secara tidak lengkap.

Kolumnis ‘Siti Lights’ dalam akhbar Sunday Star itu diteliti hanya menyebut Penyata Razak 1956 untuk “menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini” tanpa menyambungkannya dengan “dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar.”

Semakan turut mendapati Penyata Razak 1956 yang merupakan kesinambungan dari Laporan Penyata Fen-Yu (1951) yang menolak cadangan pendidikan satu aliran seperti dicadangkan dari Laporan Barnes 1950 secara lengkapnya menyebut:

“…tujuan dasar pelajaran hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan BAHASA KEBANGSAAN sebagai bahasa pengantar yang besar,walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”