Malaysia Dateline

Jawi, internet, sarapan percuma harus segera diselesaikan KPM

Polemik isu Jawi yang hanya tiga muka surat, internet sekolah yang tidak pernah diselesaikan dengan serius oleh kepimpinan terdahulu serta pengenalan sarapan percuma adalah tiga isu besar yang harus segera diselesaikan oleh kerajaan, kata Pemuda AMANAH Negeri Sarawak.

Pengerusinya, Abu Tariq berkata jika ini dibiarkan, ia akan menjadi polemik politik perkauman sekaligus sistem pendidikan akan hancur dan berterusan menjadi bahan politik, politikus yang tidak bertanggungjawab di bawah Kementerian Pendidikan.

“Maka harapan seluruh rakyat agar batu asas yang diletakkan Dr Maszlee Malik dalam memacu pendidikan unggul buat Malaysia diteruskan oleh Kerajaan PH nanti.

“Dan kerajaan harus sentiasa ingat akan mandat yang rakyat berikan sehingga mereka berkuasa pada hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Pemuda AMANAH Negeri Sarawak juga menyifatkan mantan Menteri Pendidikan,itu sebagai seorang yang mempromosikan nilai pendidikan di negara ini sebaik dilantik memegang jawatan Menteri Pendidikan.

Malah katanya, Dr Maszlee telah meletakkan bidang pendidikan adalah untuk semua rakyat tanpa sempadan bangsa, agama, budaya dan kaum di negara ini.

“Kasih sayang, hormat menghormati dan gembira adalah nilai yang selalu beliau sebutkan enam bulan pertama sebagai Menteri Pendidikan.

“Justeru beliau turut mempromosikan nilai ini agar wujud dan mekar dalam dunia pendidikan negara.

“Selain itu, beliau juga telah memperkenalkan Hari Akademia sebagai langkah apresiasi dan pengiktirafan buat golongan akademik di pusat pengajian tinggi, ujarnya.

Abu Tariq menjelaskan, Dr Maszlee adalah seorang yang sentiasa merakamkan penghargaan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik setiap kali beliau melawat sekolah dan bertemu kumpulan guru sebagai bukti keikhlasan seorang pemimpin terhadap kumpulan guru yang memayungi sistem pendidikan negara.

“Beliau telah meletakkan pendidikan adalah untuk semua sebagai realiti. Sekolah menjadi milik komuniti dan universiti menjadi milik masyarakat.

“Inilah asas yang dimiliki oleh mana-mana masyarakat yang maju, kritikal dan bertamadun di dunia,” tegasnya.

Semalam, Dr Maszlee telah mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan selepas 20 bulan dilantik menjawat jawatan tersebut.

Beliau dipetik sebagai berkata, perletakan jawatan itu dibuat berdasarkan nasihat Tun Dr Mahathir dan atas ketaatan serta disiplin beliau terhadap kepimpinan parti dan juga kerajaan.

.