Malaysia Dateline

Jawi sebahagian bahasa kebangsaan, mahkamah benar diajar di sekolah vernakular

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, menolak permohonan Gerakan yang mahu pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh yang memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Malaysia, yang juga Bahasa Kebangsaan.

Amarjit berkata, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh kerajaan juga tidak bercanggah dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pada 18 September lalu, Gerakan memfailkan saman terhadap Putrajaya bagi mencabar keputusan Kerajaan Persekutuan yang mahu melaksanakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil.

Menerusi permohonannya, Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai yakin pengajaran tulisan Jawi boleh membawa tanggapan Islam disebarkan kepada pelajar agama lain, seperti yang diajar dalam kelas Pengajian Islam.

Bekas parti komponen BN itu menamakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Timbalannya, Teo Nie Ching, dan Kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Sementara itu, Amarjit juga menolak hujah Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali bahawa Dominic Lau tiada locus standi untuk menyaman kerajaan kerana beliau adalah presiden sebuah parti politik.

Amarjit menetapkan kes itu ditolak tanpa sebarang kos. Gerakan diwakili peguam Tan Lee Kiat dan Mak Kah Keong.