JDT II mulakan kempen Piala Cabaran 2019 dengan langkah kanan

JDT II mulakan kempen Piala Cabaran 2019 dengan langkah kanan

Johor Darul Ta’zim II (JDT II) memulakan kempen Piala Cabaran 2019 dengan langkah kanan apabila mengalahkan Sarawak 3-1 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini, malam ini.

Bagaimanapun, Sarawak melakukan kejutan awal dengan membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi jaringan Nor Azizi Ramlee sebelum, Nicolas Fernandez menyamakan kedudukan pada minit ke-26 apabila dengan pantas menanduk masuk hantaran silang dari Muhammad Fazly Mazlan.

Pada masa tambahan babak pertama, JDT II sempat menambahkan satu lagi jaringan melalui Md Rozaimi Abd Rahman untuk mendahului 2-1.

Di babak kedua, perlawanan berlangsung lebih getir apabila banyak percubaan dihasilkan oleh JDT II namun hanya pada minit-58, gol ketiga pasukan itu hadir menerusi pemain Mohammad Gaddar.– BERNAMA