JDT lakar kemenangan kedua saingan Piala Malaysia

JDT lakar kemenangan kedua saingan Piala Malaysia

Juara 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan kumpulan B Piala Malaysia selepas menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 4-2 pada aksi kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan juara bertahan Liga Super itu mengekalkan kedudukan teratas kumpulan B dengan kutipan enam mata selepas dua perlawanan.

Empat gol skuad Harimau Selatan dijaringkan oleh pemain sayap kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid seawal minit keenam, pemain import dari Brazil, Diogo Luis Santo (minit ke-46 dan minit ke-71), serta Gonzalo Cabrera pada minit ke-80.

PJ City FC meraih dua gol menerusi pemain import dari Brazil, Washington Brandao pada minit ke-58 dan R. Barathkumar pada minit ke-69.

Dalam aksi kumpulan A, PKNS FC melakar kejutan selepas menewaskan juara tiga kali, Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Pada aksi di Paroi, PKNS FC selesa mendahului 2-0 hasil jaringan pemain import dari Argentina, Gabriel Guerra pada minit ke-15 dan minit ke-31, sebelum Negeri Sembilan mengurangkan defisit jaringan menerusi Igor Carneiro Luiz pada minit ke-90.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula meraih kemenangan sulung dalam saingan kumpulan D, apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Felda United 4-3 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Empat gol skuad ‘The Cops’ disumbangkan oleh Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-36, R. Gopinathan (minit ke-78 dan minit ke-88), serta Azmizi Azmi pada masa tambahan separuh masa kedua perlawanan.

Tiga gol skuad ‘The Fighters’ dijaringkan oleh S. Chanturu pada minit kesembilan, serta dua gol sumbangan pemain antarabangsa Singapura, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-18 dan minit ke-56.

Terdahulu, PDRM terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Farid Ramli dilayangkan kad merah pada minit ke-54 selepas mengasari pemain lawan.

Pasukan Liga Premier, Pulau Pinang turut melakar kemenangan sulung kempen Piala Malaysia setelah mengatasi Sabah 2-1 pada aksi kumpulan C di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Dua gol skuad Harimau Kumbang dihasilkan oleh Julian Bottaro pada minit ke-21 dan gol sendiri pemain Sabah, Evan Wensley pada minit ke-73, manakala Sabah meraih gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ronoljub Paunovic pada minit ke-48.– BERNAMA