JDT rebah di tangan Shandong Luneng FC

JDT rebah di tangan Shandong Luneng FC

Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tumpas 0-1 kepada Shandong Luneng FC dalam saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, malam ini.

Kekalahan itu menyaksikan peluang anak buah Benjamin Mora untuk menempah tiket ke peringkat kalah mati semakin pudar walaupun memenangi baki dua perlawanan dalam saingan Kumpulan E.

Untuk rekod, dalam aksi di Pusat Sukan Olimpik Jinang, China pada 9 April lepas, JDT tumpas 1-2 kepada Shandong Luneng.

Selepas empat perlawanan setakat ini, JDT yang membuat kemunculan sulung pada ACL kini menghuni tangga tercorot liga dengan satu mata selepas mengalami tiga kekalahan dan satu keputusan seri.

Kemenangan Shandong Luneng itu juga menyaksikan pasukan dari China tersebut terus mendahului Kumpulan E dengan lapan mata, diikuti kelab dari Jepun, Kashima Antlers dengan tujuh mata dan Gyeongnam FC di tangga ketiga mengutip lima mata.

Pada perlawanan malam ini, di hadapan penonton sendiri, JDT mempamerkan aksi memberangsangkan di awal permainan dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu lawan, namun penyudah yang lemah, gagal membolosi gawang Shandong Luneng.

Pasukan pelawat dilihat lebih banyak menguasai perlawanan dan pada minit ke-21, Graziano Pelle bijak mengambil peluang selepas menerima hantaran kemas Zhang Chi, sebelum menewaskan penjaga gol JDT Izham Tarmizi untuk gol pertama mereka.

Keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, JDT yang berusaha mencari rentak permainan cuba melakukan serangan namun gagal menjaringkan gol apabila tandukan Diego Luis Santo di hadapan gawang berjaya diselamatkan penjaga gol Shandong Luneng Han Rongze.

Graziano Pelle yang menyerlah dalam perlawanan itu terus melakukan gerakan berbahaya, namun pujian harus diberikan kepada anak buah Mora yang pantas menutup peluang bagi mengelak Shandong Luneng menambah gol.

Kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol pada separuh masa kedua dan kedudukan 1-0 berpihak kepada pasukan pelawat kekal sehingga wisel penamat.

— BERNAMA