Malaysia Dateline

Jelajah Merdeka semai semangat belia

Program Jelajah Negaraku Merdeka 2019 adalah simbolik bagi menterjemahkan semangat cintakan negara khususnya kepada golongan belia di negeri Sarawak.

Pengerusi Ikatan Muhibbah Permuafakatan Islam Sarawak (IMPISS),Mohamad Ariffin Taha berkata, semangat cintakan negara yang merdeka haruslah disemai dan dipupuk di setiap sanubari rakyat di negara ini lebih-lebih lagi kepada golongan remaja dan belia.

“Semoga dengan demikian,keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi hari ini akan terus berkekalan sehingga slamanya, ” ujarnya¬†ketika berucap pada Majlis Pelepasan Peserta Program Jelajah Negaraku Merdeka 2019 di Demak Laut baru-baru ini.

Program tersebut adalah anjuran bersama IMPISS dan Pertubuhan Jalinan Harapan Baru yang bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan belia bersama -sama menyertai konvoi bermotosikal.

Mohammad Ariffin menambah, sebagai generasi yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan,golongan belia haruslah memiliki semangat yang mendalam dan kuat terhadap kedaulatan negara dan negeri sekali gus memacukan maruah bangsa dan agama.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Jalinan Harapan Baru, Mohamad Zen Peli berkata, seramai 50 peserta telah menyertai konvoi bermotosikal Jelajah Negaraku 2019 yang bermula dari Demak Laut pada program pertama kali diadakan itu.

Katanya, peserta akan singgah ke beberapa buah kampung sepanjang menuju ke Daerah Pusa dan berpatah balik ke Demak Laut baru-baru ini.

” Sepanjang singgah di beberapa kampung, kami akan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf serta beramah mesra dengan penduduk setempat,” jelas beliau.

Tambah Mohamad Zen, seramai 50 penuggang motosikal telah menyertai Konvoi Merdeka yang julung kali dianjurkan oleh IMPISS dan Pertubuhan Jalinan Harapan Baru bersempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.