Malaysia Dateline

Jelaskan mengapa sejak GST dilaksana harga barangan semakin mahal

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Haji Mahfuz Omar meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan mengenai harga barangan menjadi semakin mahal sejak Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

“Mengapa PM Najib Razak tidak menjelaskan sejak perlaksanaan GST, harga barang terutamanya barang keperluan, perkhidmatan, makanan dan lain-lain semakin mahal.

“Belum ada lagi petunjuk harga barangan dan perkhidmatan menurun atau statik sejak GST diperkenalkan. GST dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kenaikan harga barang,” kata beliau dalam satu kenyataan kelmarin.

Kata Mahfuz, setelah rakyat terbeban dengan GST, dalam masa sama mereka menanggung pula beban kos harga barang yang semakin meningkat, belum dikira lagi dengan pelbagai cukai yang terpaksa dibayar oleh rakyat demi kerajaan dan negara tercinta ini.

“BR1M yang diberi hanya untuk mengenyangkan rakyat beberapa hari, tetapi rakyat perlu menanggung penderitaan ini selama setahun pula kemudiannya untuk hadapi kehidupan harian mereka akibat GST dan penarikan balik subsidi harga barang.

“Sepatutnya pendapatan negara tanpa sumber GST dan salah guna kuasa, rasuah dan rompak curi khazanah negara sudah pun mencukupi untut meringan kos sara hidup rakyat.

“Dan memastikan pendapatan boleh guna rakyat bertambah dengan mengembalikan subsidi harga barangan keperluan utama, memberikan pendidikan tinggi percuma tanpa PTPTN, mengawal harga barangan dan keperluan, mengawal serta mesubsidikan harga minyak,” tambah beliau.

Sebaliknya kata Mahfuz, apa yang berlaku masa kini taraf pengangguran semakin meningkat, ruang pekerjaan semakin terhad, kadar inflasi semakin tinggi, jurang antara yang kaya dan miskin semakin ketara.

“Adakah ini menunjukkan kedudukan ekonomi negara semakin stabil, atau GST hanya menstabilkan ekonomi pemimpin negara?

“PM Najib Razak tidak perlu berdolak-dalik dengan mendendangkan GST menyelamatkan ekonomi negara.

“PM Najib Razak perlu akui bahawa beliau sudah kekeringan idea dan tidak tahu bagaimana hendak menguruskan negara yang berada di jurang kehancuran.

“Malaysia kaya dan banyak hasil daripada pelbagai sektor dan industri, tetapi kerana ketidak cekapan pengurusan dan salah guna kuasa pemerintahan kerajaan Kleptokrasi Umno-BN, mereka gagal menyuburkan ekonomi negara,” katanya.