Malaysia Dateline

Jeli dilanda banjir, 10 PPS dibuka di Kelantan

Beberapa kampung di Jeli, Kelantan mula dinaiki air sejak awal pagi tadi selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan di kawasan itu.

Antara kampung dinaiki air ialah Sungai Satan, Bukit Lakota, Lubok Bongor, Pasir Dusun dan Gemang.

Susulan itu, penduduk di kawasan rendah mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, setakat jam 3.14 petang, 10 PPS dibuka hari ini.

Tujuh daripada PPS itu terletak di Jeli iaitu di Dewan Orang Ramai Kesedar Sungai Satan, Dewan Kesedar/ Pasti Bukit Lakota, Masjid Gemang, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Bongor, SK Legeh, SK Kuala Balah dan SK Jeli.

Sementara itu, tiga lagi PPS dibuka di Kuala Krai iaitu di Masjid Chucoh Puteri A, Madrasah Chuchoh Puteri A dan Pusat Komuniti Chucoh Puteri A.

Seramai 686 mangsa banjir yang ditempatkan di kesemua PPS terbabit terdiri daripada 193 keluarga termasuk 34 bayi, 46 warga emas dan tiga orang kurang upaya (OKU).

Keadaan banjir di Kampung Lakota, Jeli pagi tadi. Foto: Info Semasa Jeli