Malaysia Dateline

Jemaah haji visa furada terkandas: Bekas ejen umrah ini dedah nyaris kena tipu dengan individu sama

Lebih 380 bakal jemaah haji kandas di KLIA. Kena scam pakej haji furada. Saya ingin kongsi pengalaman.

Saya sebenarnya hampir jadi mangsa. Bukan pasal nak buat haji furrada tetapi sebab pakej umrah. Saya bukan berurusan dengan UC Travel ni, tapi dengan ejen yang sama dalam iklan pakej haji furada ini.

Untuk pakej umrah yang saya ingin ambil ni, katanya hanya perlu bayar RM2,500 sahaja dan selebihnya ditanggung oleh penaja.

Saya pun ajak isteri, abang ipar, kakak ipar, mak dan mak mertua. Semua setuju dan hantar nama dulu tanpa buat bayaran. Lepas dah bagi nama semua tu, dapat mesej kata tarikh penerbangan diawalkan dan bayaran jadi RM3,000. Mula dah rasa curiga.

Tidak lama lepas itu, dapat mesej kata kena bayar secepat mungkin sebab nak buat visa. Habis saja raya haji terus boleh buat umrah, katanya.

Kami semua diberikan nombor akaun bank peribadi ejen tersebut, bukannya akaun bank agensi pelancongan. Bertambah lagi rasa curiga. Tidak logik untuk mohon visa hanya perlu buat bayaran kepada ejen tanpa perlu serah sebarang dokumen berkaitan.

Tidak lama selepas itu ada kumpulan WhatsApp dibuat oleh ejen untuk bakal jemaah dapat kemaskini, saya pun ambil kesempatan untuk bertanya macam-macam sebab banyak perkara tidak logik yang perlu dijelaskan oleh ejen tersebut.

Jawapan yang diterima sangat tidak membantu. Dulu, saya pernah jadi ejen umrah. Segala urusan umrah termasuk permohonan visa ini saya tahulah. Rasa macam diperbodohkan oleh ejen ini pun ada apabila dia beri jawapan yang entah apa-apa.

Untuk makluman, urusan permohonan visa hanya boleh dibuat seawal 30 hari atau selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh penerbangan setelah semua dokumen bakal jemaah lengkap.

Pakej saya ini bulan Ogos, tapi April dah desak minta duit. Yang didesak tu duit, bukan dokumen. Ramai ahli kumpulan itu mula rasa curiga terhadap yang saya cuba bangkitkan.

Ahli kumpulan mula bertanya apa nama agensi, pejabat di mana, apa nama Facebook. Perkara mudah pun dia asyik pusing susah nak jawab. Rupanya pejabat dah tutup. Tiada orang kerja. Facebook, dah bertahun tak kemaskini. Nama agesi: Destinasi Travel. Ejen tumpang agensi itu saja.

Ejen itu pula bagi jawapan, “siapa nak pergi umrah, bayar. Siapa yang tak percaya boleh cari ejen lain.”

Saya dituduh menghasut orang untuk tidak menunaikan ibadah umrah ini dengan mereka dan saya juga dituduh buat fitnah serta memperbodohkan orang lain.

Katanya lagi, dia tidak mahir dengan urusan umrah, dia hanya sekadar ikut cakap ejen lain iaitu Haji Shahairi dan katanya boleh hubungi sendiri untuk penjelasan lanjut. Malangnya, 10 kali buat panggilan tidak berjawab.

Kami teruskan minta penjelasan dalam kumpulan. Lepas kena tanya bertubi-tubi, ejen itu left group pula. Kami yang dalam group jadi pelik kenapa dia left group dan kami semua sepakat untuk tidak meneruskan sebarang urusan dengan ejen itu tadi.

Niat untuk ke Baitullah tahun ini tergendala. Kami anggap mungkin lain kali ada peluang.

Kelmarin saya terbaca berita lebih 380 bakal haji terkandas di KLIA kena scam pakej haji furrada oleh sebuah agensi pelancongan. Saya pun siasat apa nama agensi tu.

Terjumpa satu update di Telegram, ada bakal jemaah yang kongsikan leaflet pakej itu. Oh, UC Travel rupanya. Lepas itu, saya ternampak nama dan nombor telefon ejen dalam itu.

Berderau darah sambil mengucap panjang saya sebab itulah ejen yang left group tadi dan ejen yang tidak jawab panggilan 10 kali itu!

Dalam kes scam haji furada ini, saya yakin ini bukan datang dari UC Travel sendiri, tapi dari ejen-ejen itu.

Saya sebenarnya bersyukur sebab saya dan keluarga tak kena tipu dan jelas saya bukan menghasut dan buat fitnah.

Perkongsian ini bukanlah bertujuan untuk mengaibkan sesiapa tetapi sekadar berkongsi dan berwaspadalah selalu.