Jemaah lega program bantu warga emas ketika Masyair

Jemaah lega program bantu warga emas ketika Masyair

Kerisauan terlukis di wajah jemaah haji Naemah Abu Sharif yang memikirkan keadaan suaminya Che Hamzah Ngah Ismail pada ketika ibadat Masyair akan bermula dengan wukuf di Arafah pada Sabtu ini.

Naemah, 75, berkata suaminya Che Hamzah, 80, mempunyai masalah memori dan tidak berupaya mengingati pelbagai perkara dalam tempoh lama akibat usianya, malah perlu diberitahu waktu untuk melakukan aktiviti tertentu terutama solat.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri dari Bota, Perak itu mampu menarik nafas lega apabila Lembaga Tabung Haji (TH) melaksana program Jemaah Haji Warga Emas, bertujuan memberi bantuan dan bimbingan khusus kepada jemaah haji warga emas yang memerlukan pada ibadat Masyair nanti.

“Memang risau mak cik ini, itu yang mohon (program itu) kerana suami ini kena ada orang sentiasa dengan dia bagi tahu apa perlu dibuat, dia sihat tiada penyakit serius semua tetapi dia susah nak ingat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibadat Masyair bermula dengan wukuf di Arafah, berada seketika pada tengah malam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan melontar di tiga Jamrah pada hari Tasyrik iaitu 11 hingga 13 Zulhijah.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Pengarah Operasi (Bimbingan) TH, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata program yang dilaksanakan bermula 19 tahun lepas itu bertujuan membantu jemaah warga emas terutama yang datang seorang diri, sukar mengurus diri sendiri dan hilang akal.

“Sebelum ada program ini, terdapat kes jemaah haji kita hilang ketika ibadat Masyair dalam tiga ke empat orang setahun yang mana ada tidak dijumpai malah dikeluarkan sijil kematian setelah tujuh tahun hilang, jadi pihak pengurusan melihat perlu ada program seperti ini untuk bantu warga emas itu.

“Tiada kehilangan warga emas selepas kita laksana program ini. Tiada had umur dalam program ini tetapi selalunya kita ambil usia 75 tahun ke atas, selain pembantu kita juga tempatkan guru agama terdiri petugas pembimbing ibadah haji tanah suci (PIHTAS) bagi bantu mereka,” katanya.

Katanya seramai 140 warga emas memohon untuk menyertai program itu pada musim haji tahun ini, justeru daripada jumlah itu TH akan membuat proses saringan dan menyasarkan seramai 50 jemaah warga emas bakal mengikuti program itu.

Beliau berkata tiga aspek utama yang akan dinilai panel pemilihan untuk program itu ialah aspek pengetahuan ibadah, kesihatan tubuh badan, dan kaunseling melihat lebih kepada cara menjaga diri atau berdikari urus diri mereka.

— BERNAMA