Malaysia Dateline

Jemaah mahu solat Jumaat di Masjid Putra kena daftar awal

Susulan tular sebuah video mengenai layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Putra Putrajaya semalam, Jawatankuasa Masjid tampil menjelaskan perkara sebenar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan dan dikongsi Menteri Agama Idris Ahmad di facebooknya, kapasiti masjid terbabit bagi solat Jumaat ditetapkan seramai 300 orang bagaimanapun kuota diberikan kepada jemaah yang telah mendaftar lebih awal.

“Bagi Solat Jumaat, kapasiti jemaah di Masjid Putra telah ditetapkan seramai 300 orang.

“Daripada jumlah tersebut, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang ditetapkan,” katanya

Masjid Putra menerima kehadiran jemaah melebihi kapasiti yang ditetapkan sejak jam 11.00 pagi untuk menunaikan Solat Jumaat.

Masjid Putra Putrajaya mengeluarkan kenyataan bagi merujuk sebuah video yang tular mengenai layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat pada 10 September 2021 di Masjid Putra.

Menurut jawatankuasa masjid apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pinta pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudiaan tidak dapat memasuki masjid.

“Pihak masjid memaklum dan menasihatkan para jemaah secara baik mengenai perkara tersebut.

“Bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran masjid akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

“Justeru kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi.

“Sebarang cadangan dan maklumbalas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra,” kata kenyataan itu.

Melalui tularnya sebuah video semalam kelihatan ramai jemaah yang beratur untuk memasuki masjid namun mereka tidak dibenarkan.

Difahamkan pihak masjid kemudian menutup pagar utama susulan selepasĀ  VIP bersama beberapa kakitangannya memasuki masjid berkenaan.

Selepas itu, terdapat seorang lagi telah dibenarkan masuk melalui pintu pagar kecil masjid itu.