Malaysia Dateline

Jemaah menteri perlu akur isytihar harta

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, semua ahli Jemaah Menteri dalam Perikatan Nasional (PN) perlu akur dengan arahan Perdana Menteri yang mewajibkan mereka mengisytiharkan harta secara terbuka di Parlimen.

Beliau berkata, pengisytiharan berkenaan kelak juga perlu diumumkan secara umum bukan sahaja kepada Perdana Menteri atau Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM).

Beliau turut membangkitkan sikap parti yang dahulunya menggunakan pelbagai hujah dan dalil untuk mengelak dari mengisytihar harta.

“Umum sedia maklum sikap bermuka-muka sesetengah Ahli Parlimen yang kini menjadi ahli Jemaah Menteri.

“Ada di kalangan parti dalam kerajaan sekarang yang sebelum ini yang sengaja mengingkari arahan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengisytihar harta mereka secara terbuka di Parlimen.

“Hari ini rakyat Malaysia akan dapat lihat wajah sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, setakat 5 Disember 2019, sejumlah 62 orang Ahli Parlimen belum mengisytihar harta kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Menurut Fahmi, Ini termasuklah Ahli Parlimen dari parti Umno seramai 36 orang, MCA (1), MIC (1), Pas (18), GPS (3), STAR (1) dan Bebas (2).

Tambah Pengarah Komunikasi PKR itu lagi, pengisytiharan harta seharusnya dilakukan bagi mengelak dari wujudnya pelbagai andaian atau persepsi di kalangan orang ramai.

Fahmi turut menyentuh tentang apa yang berlaku baru-baru ini apabila politik negara digemparkan dengan berita aset Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan yang memiliki aset berjumlah lebih RM700 juta setakat 2016.

“Langkah mengisytihar harta di Parlimen akan menjadi kayu ukur sama ada pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini akan meneruskan atau merencatkan reformasi institusi yang telah dimulakan Pakatan Harapan (PH),” katanya.