Jemaah umrah disaran tidak panik tindakan Arab Saudi kenakan kos visa

Jemaah umrah disaran tidak panik tindakan Arab Saudi kenakan kos visa
Datuk Seri Razali Mohd Sham (tengah) ketika sidang media yang diadakan hari ini.

Para jemaah yang sudah mendaftar bagi menunaikan umrah diminta untuk tidak panik susulan pengumuman Kerajaan Arab Saudi pada semalam yang akan mengenakan kos tambahan kepada para jemaah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (Pupah), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, para jemaah yang sudah mendaftar bagi menunaikan umrah, supaya bersiap sedia dengan bayaran tambahan kos visa sebanyak SAR300 (RM350).

Katanya, para jemaah perlu membiayai sendiri kos tambahan tersebut yang tidak ditanggung oleh agensi pelancongan.

“Kos ini adalah patut ditanggung oleh jemaah sendiri apabila mereka pergi tunai umrah. Kos bayaran yang dikenakan dalam pakej Papuh sebelum ini tidak termasuk kos visa dan ia tidak ditanggung ahli Papuh.

“Bagi jemaah yang buat tempahan awal, kami nasihat untuk membayar kos tambahan tersebut bagi membolehkan jemaah menunaikan umrah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut menafikan ura-ura yang mengatakan penambahan kos itu bakal melibatkan kenaikan sehingga SAR603 dan menasihatkan para jemaah untuk tidak terpengaruh dengan ejen yang mendakwa kenaikan kos terlalu mahal.

Jelasnya, penambahan kos tersebut tidak membebankan para jemaah yang disebabkan penurunan harga kos penginapan dan pengangkutan.

“Jika diikutkan, sebelum ini jemaah membayar sekitar RM5,800 tapi dengan penurunan harga kapal terbang dan hotel, pakej yang ada hanya sekitar 4 ribu lebih. Jadi saya rasa kalau tambah RM350 itu tidak melibatkan kenaikan yang tinggi.

“Bayar kos visa sememangnya perkara yang perlu. Contoh jika kita ke Australia, Russia, India, semua memerlukan kita membayar visa. Cumanya, kerajaan Saudi mengenakan visa dengan kadar yang masih murah,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mendaftar umrah mahupun haji dengan syarikat yang berdaftar dengan syarikat pelancongan.