Malaysia Dateline

Jeming sedia berdepan dengan penceramah azab kubur di mahkamah

Ahmad Dasuki Abdul Rani

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan bersedia berdepan dengan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dasuki Abdul Rani di mahkamah ekoran isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Hazmi yang juga dikenali sebagai Jeming memberitahu perbincangan bagi mendapatkan nasihat sewajarnya telah dibuat dengan pihak peguam.

“Saya yakin saya tidak fitnah, saya sudah bincang dengan peguam. Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani kita jumpa di mahkamah,” katanya.

Terdahulu, Dasuki yang terkenal dengan kuliah berkaitan cerita tentang azab kubur itu menuntut ganti rugi RM1 juta daripada Jeming susulan video bertajuk, “Dasuki Rani kantoi fitnah tapi tak mahu minta maaf – Reaksi Isu Tabung Haji” di YouTube pada 15 Julai lalu.

Dalam video tersebut, Jeming menggelar Dasuki sebagai jahat dan kaki fitnah apabila banyak fakta salah tentang TH disebarkan demi memburukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Sehubungan itu, Dasuki menuntut Jeming membuat permohonan maaf melalui tulisan dalam akhbar Sinar Harian, Harakah, Utusan Malaysia dan Berita Harian selama tiga hari berturut-turut.

Jeming juga dikehendaki menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada Ahmad Dasuki di YouTube dan Facebook dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat berkenaan.