Malaysia Dateline

Jeming seru semua Youtuber bersatu lawan syarat wajib lesen Finas

Youtuber Jeming Hassan menyeru kepada semua pengamal media sosial bangkit membantah langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mewajibkan penerbit filem termasuk media individu memohon lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Menurutnya yang juga Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Youtuber di negara ini perlu menolak undang-undang berasaskan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 itu agar kerajaan menarik balik kewajipan itu.

“Kalau ini arahan kerajaan, saya menyeru kepada semua Youtuber Malaysia bersatulah melawan akta ini supaya kita tidak ditindas,” tegasnya dalam video terbaharu beliau.

Beliau berpendapat pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat berhubung kewajipan itu dibimbangi akan membunuh industri kreatif negara.

“Saya yakin industri kreatif Malaysia akan hancur kerana undang-undang ini. Kerajaan tidak boleh mengenakan tindakan sama selepas isu Al-Jazeera,” katanya.

Menurut Jeming, rata-rata pengamal media sosial yang menghasilkan filem di platform masing-masing dalam reaksi awal mereka membantah langkah kerajaan itu.

Sehubungan itu, beliau yang nama sebenarnya Hazmi Hassan mengingatkan kerajaan PN bahawa YouTube telah memberi ruang kepada rakyat untuk menjana pendapatan terutama ketika wabak Covid-19 ini.

“Sepatutnya kerajaan memudahkan urusan rakyat. Saya ingin bertanya Dd Chronicles yang menjadi penyokong kuat kerajaan hari ini, adakah akan menghasilkan video troll tentang isu ini?’ soalnya.