Jemput penceramah tanpa tauliah, AJK masjid bakal dipecat – Sultan Johor

Oleh KIM SYAZIE

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekali lagi memberi amaran untuk tidak menjemput penceramah tanpa tauliah bagi memberi kuliah agama di negeri itu.

Peringatan tersebut diberikan baginda khusus kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang bertugas di tempat beribadat umat Islam di Johor.

Sekiranya didapati gagal bertindak sedemikian, AJK Masjid bakal berdepan dengan kemungkinan untuk dipecat daripada jawatan yang dipegang.

Titah baginda, ceramah yang bakal dianjurkan di masjid atau surau juga perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Kebenaran tersebut perlu dipohon lebih awal sebelum ceramah diadakan oleh pihak yang terlibat menerusi pejabat kadi daerah negeri Johor.

Larangan ini bertujuan untuk mengawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Permohonan kebenaran itu perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan ketika memberi ceramah agama.

“Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua AJK masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipecat,” titahnya

Titah baginda juga bertujuan untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, semalam.

Baca juga: Selepas Terengganu, Johor pula larang Individu tiada tauliah beri ceramah agama