Jenama Bijan popular jadi bahan jenaka

Jenama Bijan mengundang jenaka orang ramai kerana perkataan tersebut sebelum ini sering diguna untuk menyindir Najib dalam ejaan terbalik.

Bijan yang dikatakan jenama paling mahal di dunia secara tiba-tiba menjadi sebutan orang ramai sejurus sidang media khas oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh semalam.

Rata-rata rakyat Malaysia berkongsikan rasa terkejut bercampur lucu di media sosial berhubung pendedahan jumlah rampasan yang dianggar mencecah RM1.1 bilion itu.

Ramai turut mengakui sama sekali tidak pernah mengetahui kewujudan jenama paling eksklusif dan dikategorikan sebagai rekaan khas dan ikonik itu.

Bahkan portal Sarawak Report tidak ketinggalan untuk sama berjenaka mengenai jenama yang disebut sebagai ‘bizaen’ itu.

“Bijan? Kedai paling mahal di dunia yang membuat beg tangan dirampas dari Najib. Menariknya Bijan jika dieja terbalik adalah Najib,” tulis portal yang dikenali mendedahkan kepincangan rejim BN itu.

Terdahulu, pemberita yang sedang membuat liputan sidang media khas dikendalikan Amar Singh turut ketawa selain mulanya hairan sehingga ada yang meminta beliau mengeja nama ‘Bijan’ itu untuk kepastian.

Amar Singh kemudiannya mengeja nama beg tangan amat mewah itu sambil tersenyum.

“Sebentar… sebentar. Beg ini tidak ada di pasaran, ia ‘custom made’ dan beg mahal,” katanya lagi.

Bijan antara 37 jenama beg tangan mewah yang dirampas selain jenama Hermes, Prada dan Chanel dalam sejumlah 567 beg tangan yang dirampas dari kediaman dikaitkan dengan Najib menjelang Ramadan bulan lalu.

Amar Singh memberitahu nilai bagi 272 beg Hermes yang dirampas sahaja dianggarkan RM51.3 juta manakala sejumlah beg tangan lain masih menunggu pakar untuk dinilai.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 9.0
CATEGORIES
TAGS