Malaysia Dateline

Jenayah perang di Gaza: Bolehkah Benjamin Netanyahu diheret ke ICC?

Konflik Israel-Palestin telah pun berlangsung sejak 73 tahun lamanya. Dalam serangan terbaharu yang dilancarkan di kawasan Sheikh Jarrah, ratusan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak tidak bersalah dibunuh dalam tempoh kurang seminggu.

Lebih menjijikkan, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), terdapat 46 serangan kesihatan termasuklah ke atas lima pusat kesihatan dilancarkan ke wilayah Palestin.

Serangan juga telah disasarkan ke atas satu-satunya makmal yang menyediakan rawatan ujian saringan Covid-19 di kawasan tersebut.

Sebahagian serangan juga diakui sendiri tanpa rasa malu malah secara bangga oleh pegawai-pegawai Israel.

Sesiapa yang melihat walaupun secara sekilas pandang Artikel 8 Statut Rom semestinya akan berlegar dalam fikirannya sebuah persoalan mudah; bukankah itu satu tindakan jenayah perang?

Artikel 8 Statut Rom membacakan, antara lain, tindakan-tindakan yang membentuk jenayah perang termasuklah:

2. (a) (b) (v) Menyerang atau mengebom, dengan cara apa pun, bandar, kampung, kediaman atau bangunan yang tidak dipertahankan dan yang bukan merupakan objektif ketenteraan; (bukan terjemahan rasmi)

2. (a) (b) (ix) Dengan sengaja mengarahkan serangan terhadap bangunan yang dikhaskan untuk agama, pendidikan, seni, sains atau tujuan kebajikan, monumen bersejarah, hospital dan tempat orang sakit dan cedera dikumpulkan, dengan syarat ia bukan objektif ketenteraan; (bukan terjemahan rasmi)

Demikian itu, dengan hanya melakukan pemerhatian kasar terhadap situasi di Palestin dan pembacaan ringkas mengenai peruntukan dalam Statut Rom, rumusannya tindakan jenayah perang sudah pun berlaku di Gaza.

Statistik juga menggambarkan bahawa penyeksaan, penahanan tidak sah, penempatan tahanan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan pembunuhan rakyat Palestin adalah cukup mendukacitakan.

Benjamin Netanyahu

 

Oleh itu, siasatan penuh terhadap bukan sahaja jenayah perang malahan jenayah-jenayah antarabangsa lain sepert jenayah ke atas kemanusiaan (crimes against humanity) dan jenayah pencerobohan (crime of aggression) adalah cukup kritikal.

Namun, terdapat satu persoalan yang masih tergantung. Andaikan bahawa siasatan telah pun diambil dan selesai sekali gus pihak Pejabat Pendakwa (Office of the Prosecutor) berpuas hati untuk membawa hal itu ke makhkamah antarabangsa, bolehkah kita mengharapkan individu yang kuat dan berpengaruh seperti Benjamin Netanyahu diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)?

Walaupun masih belum ada jawapan konkrit bagi persoalan tersebut, kita masih boleh beroptimis seandainya kita melihat sejarah dunia.

Sejarah akan menyedarkan kita bahawa jenayah antarabangsa berlaku dan berulang. Ketika sosok seperti Charles Taylor, Ratko Mladic dan Pol Pot dituduh melakukan jenayah antarabangsa seperti pembunuhan beramai-ramai (genosid) atau jenayah perang, dunia pada awalnya tidak terlalu bersemangat untuk merasakan bahawa mereka akan diadili apalagi dihukum.

Bahkan, ada yang meratapi bahawa mustahil untuk mendakwa penjenayah-penjenayah tersebut di peringkat pertama kerana mereka mungkin dilindungi oleh beberapa rakan dan penyokong kuat mereka di seluruh dunia.

Walaupun begitu, mereka semua telah pun didakwa di ICC dan ada juga yang sedang menjalani hukuman di penjara seumur hidup.

Setelah persahabatan mereka hancur dan mereka tidak lagi diberi sumber wang, semua pertolongan dan perlindungan yang diharapkan tidak akan dapat membantu mereka lagi.

Sejarah sudah pun terbukti dan akan berulang, terutama bagi seseorang yang sokongan daripada “abang besarnya” iaitu Amerika Syarikat semakin berkurang dan sokongan dunia untuk Palestin semakin mekar dengan lebih hebat berbanding sebelumnya.

Tidak ada manusia yang mampu hidup dengan kekebalan mutlak termasuklah Benjamin Netanyahu dan konco-konconya.

Kekebalan bergerak seiring dengan kekuasaan. Setelah mereka hilang kekuasaan, kekebalan akan sama-sama meninggalkan mereka untuk menghadapi keadilan.

Dalam mencapai keadilan global, kita tidak boleh berputus asa dengan mudah. Sinar akan muncul di penghujung jalan dan keadilan akan menang, insya Allah.