‘Jenayah terancang curi harta rakyat bukan sahaja libat Najib, Jho Low tapi juga Apandi’

Oleh ARIF ATAN

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa penglibatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang bertindak sebagai orang tengah untuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) amatlah mengejutkan.

Pertamanya, kata Mahathir, Apandi ketika menjadi Peguam Negara telah menyatakan tidak berlaku sebarang jenayah berkaitan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta menyucikan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

“Pendirian Apandi itu berlaku pada waktu beberapa negara luar telah mengambil tindakan terhadap bank-bank dan orang persendirian yang terbabit dengan jenayah 1MDB.

“Kerana itu apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, perkhidmatan Apandi tidak dilanjutkan kerana sikap dan tindakannya menyucikan 1MDB secara langsung adalah kegagalannya melaksanakan amanah dan tanggungjawab negara,” tegas bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Apandi Ali

Baru-baru ini, Apandi menegaskan, dia bukan wakil Jho Low, sebaliknya dihubungi firma guaman antarabangsa, Kobre & Kim dari Washington, AS, yang memohon bantuan mengatur mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara (AGC) pada akhir Mei lalu.

Jelasnya, dia kemudiannya mengatur beberapa siri pertemuan, yang mana wakil daripada Kobre & Kim datang ke Malaysia.

Pada perjumpaan di AGC itu, kerajaan diwakili peguam negara dan pegawainya serta pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, tujuan perjumpaan itu adalah bagi berbincang untuk membawa balik dana yang didakwa diseleweng Jho Low daripada 1MDB.

Ujarnya, selepas perjumpaan yang dilihat positif itu, ia kemudian dibatalkan oleh AGC secara tiba-tiba tanpa sebab yang diketahui.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, tindakan Apandi juga secara langsung mempertahankan jenayah-jenayah yang telah dilakukan oleh Najib dan sekutu-sekutunya termasuklah Jho Low.

“Hari ini hakim-hakim mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan telah mendapati perlakuan jenayah tetap berlaku di dalam 1MDB dan menghukum penjara Najib Razak kerana kesalahan-kesalahan berkaitan 1MDB.

“Sepatutnya Apandi merasa bersalah dan menyesal kerana pendiriannya menyekat jenayah 1MDB dari dihadap ke mahkamah,” tegas Mahathir lagi.

Baca juga Mahathir bantah penyelesaian di luar mahkamah antara kerajaan dan Apandi

Baca juga Ibu bapa kejam! Pukul anak angkat berusia 4 tahun guna penyapu sebab enggan makan nasi